lightning-solid
Berita :
Penempatan Graduan KPT Tunjuk Trend Positif 2021–2024, Penguasaan Pekerjaan Mahir Meningkat
Penempatan Graduan KPT Tunjuk Trend Positif 2021–2024, Penguasaan Pekerjaan Mahir Meningkat
Mastura Jamal Din
9 jam yang lepas
65

KUALA LUMPUR, 26 Januari - Corak penempatan graduan bagi tempoh 2021 hingga 2024 memperlihatkan perkembangan yang sangat positif, khususnya peningkatan penguasaan pekerjaan mahir dalam kalangan graduan ijazah pertama dan diploma.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata peningkatan itu disertai penyusutan peratusan graduan dalam sektor separa mahir dan berkemahiran rendah, sekali gus mencerminkan pertambahan peluang pekerjaan mahir hasil perkembangan ekonomi negara serta pelbagai inisiatif kerajaan.

“Untuk makluman Yang Berhormat, data bagi tahun 2025 akan ditutup melalui proses pengumpulan pada akhir Februari 2026 dan prestasinya dijangka kekal positif. 

“Namun, kita mempunyai data rasmi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) bagi tahun 2021 hingga 2024,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang ingin mengetahui peratus graduan yang bekerja dalam pekerjaan separa mahir dan di luar bidang pengajian bermula tahun 2021 sehingga 2025 serta langkah intervasi dan usaha strategik daripada pihak Kerajaan dalam mengurangkan peratusan tersebut saban tahun.

Menurut Adam Adli lagi, bagi graduan ijazah pertama, peratusan yang bekerja dalam pekerjaan mahir pada tahun 2024 meningkat kepada 68.2 peratus, naik 1.1 peratus berbanding 67.1 peratus pada tahun 2021.

Bagi graduan diploma pula, peratusan yang bekerja dalam pekerjaan mahir meningkat dengan lebih ketara iaitu sebanyak 5.3 peratus kepada 50 peratus pada tahun 2024, berbanding 44.7 peratus pada tahun 2021.

Momentum positif itu turut ditunjukkan melalui peningkatan peratusan graduan yang memperoleh pekerjaan selaras dengan bidang pengajian masing-masing.

Sementara itu, bagi ijazah pertama, graduan yang bekerja dalam bidang berkaitan mencatat peningkatan sebanyak 3.3 peratus kepada 57.6 peratus pada tahun 2024, berbanding 54.3 peratus pada tahun 2021.

Bagi diploma pula, peningkatan lebih signifikan direkodkan apabila peratusan graduan yang bekerja dalam bidang berkaitan meningkat sebanyak 9.5 peratus kepada 58.3 peratus pada tahun 2024, berbanding 42.8 peratus pada tahun 2021.

Adam Adli menegaskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kekal komited memastikan trend positif ini berterusan, namun pada masa sama mengambil kira sifat pasaran pekerjaan yang dinamik.

“Pendekatan strategik yang selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 hingga 2035 akan terus ditekankan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mampu memasuki pasaran kerja, tetapi memperoleh pekerjaan setara dengan kelayakan serta relevan dengan keperluan industri semasa,” katanya.

Beliau berkata antara inisiatif utama kementerian ialah penjajaran semula program-program akademik di universiti awam, termasuk pemantauan kandungan kurikulum agar sentiasa relevan dan selaras dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), yang dilaksanakan setiap tiga hingga lima tahun.

Selain itu, KPT akan mempergiat kerjasama rentas kementerian dan agensi seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta Kementerian Ekonomi.

Kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan industri turut diperkukuh melalui platform seperti Majlis Pekerjaan Negara dan Majlis TVET Negara, selain inisiatif ‘industry on campus’, ‘teaching factory’, pusat kecemerlangan dan makmal bersama bagi memastikan pelajar memperoleh kemahiran berasaskan industri serta pendedahan kepada teknologi tinggi.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kemaman Ahmad Samsuri mengenai langkah menangani cabaran kebolehpasaran graduan termasuk libat urus dengan kementerian lain dan badan profesional seperti Lembaga Jurutera Malaysia, Adam Adli berkata beberapa pendekatan akan dikemas kini, khususnya dari segi kecekapan pelaksanaan.

“Ada proses yang memerlukan masa dan kita tidak dapat mengelakkan sepenuhnya kekangan sedia ada, namun kementerian akan terus mempergiat dan melaksanakan sistem dengan pendekatan berbeza. 

"Beberapa inisiatif tambahan juga akan dijadikan instrumen sokongan kepada dasar sedia ada supaya graduan pendidikan tinggi kita tidak ketinggalan berbanding perkembangan industri,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan