500 Asnaf DUN Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Zakat Menjelang Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Seramai 500 asnaf dari 35 buah kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menerima sumbangan zakat berupa wang tunai RM100 serta sekampit beras seberat lima kilogram dalam majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata program ini merupakan tradisi Pusat Khidmat Masyarakat yang diadakan setiap tahun menjelang lebaran bagi memastikan golongan asnaf dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria dan sejahtera.
Menurut beliau, sumbangan ini adalah hasil kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk individu perseorangan, syarikat-syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang prihatin terhadap kebajikan golongan yang memerlukan bagi membantu meringankan beban menjelang sambutan Aidilfitri.
“Kami amat berterima kasih kepada semua penyumbang yang sudi menghulurkan bantuan demi meringankan beban golongan asnaf di kawasan ini. Dengan adanya sumbangan ini, diharapkan mereka dapat membuat persiapan raya dengan lebih baik,” katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi program sumbangan seumpama ini akan diadakan pada 27 Mac nanti dengan kerjasama syarikat korporat bagi memperluaskan lagi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Sementara itu, seorang penerima, Ariani Amzah, 47, dari Kampung Losong yang merupakan ibu tunggal, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan.
Katanya, sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu persiapan Aidilfitri, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
“Setiap kali menjelang Aidilfitri, saya hanya membuat persiapan ala kadar sahaja kerana masih terasa kehilangan ibu yang meninggal dunia pada malam raya dua tahun lalu. Namun, dengan adanya sumbangan ini, sedikit sebanyak meringankan beban saya dan anak-anak,” katanya.
Seorang lagi penerima, Mohamad Jusoh, 66, dari Kampung Che Long, turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Saya mempunyai 10 orang anak, dan dengan adanya sumbangan ini, dapatlah saya menampung keperluan keluarga terutama dalam membuat persiapan Aidilfitri.
"Beras yang diterima ini pun boleh digunakan untuk memasak pada hari raya nanti. Saya juga lihat proses pemberian sumbangan pun berjalan lancar,” katanya.