KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Program Terengganu Bertadabbur Siri II anjuran Yayasan Pendidikan Maidam (YPM) berjaya menarik 500 penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, pendidik dan masyarakat umum.
Program yang membawa tema Surah Al- Jumuah itu menawarkan panduan kepada cabaran dalam kehidupan sosial yang dihadapi umat dimana surah tersebut menggariskan pentingnya keseimbangan dan kesederhanaan pada individu dalam masyarakat.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPM, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh berkata, ia merupakan inisiatif YPM untuk memupuk masyarakat yang berinteraksi dengan al-Quran dan menjadikan kalam Allah itu sebagai prinsip kehidupan harian.
“Selain menyemai nilai insaniah dalam diri masyarakat yang mengetahui kepentingan untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik dalam kehidupan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.
Menurut Wan Ismail, program tersebut menterjemahkan salah satu fungsi YPM dalam menguruskan Dana Sumbangan Pendidikan ke arah mencapai objektif mempromosikan pembangunan pendidikan kepada masyarakat khususnya di negeri ini.
“Diharapkan program ini dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memberi impak positif dalam meningkatkan pemahaman umat Islam terhadap nilai-nilai murni dalam agama dan kehidupan seharian,” ujarnya.