lightning-solid
Berita :
618 Pelajar DUN Paka Terima Khidmat Gunting Rambut Percuma
618 Pelajar DUN Paka Terima Khidmat Gunting Rambut Percuma
Amiirullah Mansor
11 jam yang lepas
83

DUNGUN, 11 Januari – Seramai 618 orang pelajar di sekitar DUN Paka menerima khidmat gunting rambut percuma menerusi Program Gunting Rambut Percuma sempena pembukaan sesi persekolahan baharu.

Program ini dilaksanakan secara berperingkat dengan satu zon setiap hari, termasuk Tebing Tembah, Durian Mentangau, Felda Kerteh 4, Surau Darussalam, dan Felda Kerteh 2, bagi memastikan kelancaran penganjuran serta memudahkan penduduk setempat. 

Pengarah Program Gunting Rambut Percuma, Mohd Shamsuddin Mohamad berkata, program berkenaan bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa serta memastikan pelajar memulakan sesi persekolahan dengan penampilan lebih kemas dan yakin.

“Walaupun program ini nampak ringkas, ia memberi impak besar, terutamanya kepada keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah. Sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan sedikit kos persiapan awal persekolahan,” katanya ketika ditemui pemberita usai program zon terakhir di Balairaya Felda Kerteh 2 semalam.

611153364_1419564449532204_8927913880654644631_n.jpg 419.78 KB
Beliau menambah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan tertinggi direkodkan di Surau Darussalam seramai 154 pelajar.

Sementara itu,  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato' Satiful Bahari Mamat  memaklumkan bahawa program seperti itu merupakan inisiatif tahunan yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu dan akan diteruskan setiap tahun.

“Program ini memang wajar kita anjurkan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan kos keluarga. Contohnya, jika sesebuah keluarga mempunyai lima atau enam orang anak bersekolah, kos persediaan boleh dikurangkan dengan bantuan seperti ini,” katanya.

Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap semua tukang gunting yang sanggup meluangkan masa serta tenaga sepanjang lima hari program berlangsung.

Program ini merupakan anjuran bersama Kelab Belia Sahabat Sejahtera (KBSS) sebagai salah satu inisiatif kebajikan komuniti di DUN Paka, khususnya bagi menyantuni keperluan pendidikan dan kebajikan anak-anak setempat.

“Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi contoh kepada lebih banyak usaha kebajikan yang melibatkan masyarakat secara langsung,” tambahnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka.

WhatsApp Image 2026-01-08 at 12.41.36 PM.jpeg 190.68 KB


Tag :

Artikel Berkaitan