HULU TERENGGANU, 1 September – Seramai 80 orang sukarelawan mewakili tiga Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama-sama berganding bahu melaksanakan Misi Bantuan Bekalan Air di Dun Buluh Gading, sejak 24 Ogos lalu.
Misi bantuan memfokuskan penghantaran air mentah untuk kegunaan penduduk kampung yang terjejas, dengan menghantar dari rumah ke rumah.
Ia melibatkan Kelab Sukarelawan Hulu Terengganu, Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Hulu Terengganu dan Pertubuhan Amal Kebajikan Hulu Terengganu.
Menurut Ketua Operasi Sukarelawan Hulu Terengganu, Mohd Nazari Zakaria berkata, khidmat yang dihulurkan kepada masyarakat terjejas ini adalah usaha murni yang juga merupakan salah satu teras kekuatan iaitu membantu secara ‘kesukarelawanan’.
Katanya, sukarelawan yang datang daripada empat DUN dalam Parlimen Hulu Terengganu turun membantu penduduk mengikut jadual yang diberikan dan sebahagian mereka sudah lengkap dua dos vaksin.
“Setiap yang bertugas akan hadir dengan kekuatan tenaga seramai 15 orang setiap dun, kenderaan 4X4 dan lori.
"Setakat ini tiada tarikh tertentu ditetapkan untuk misi bantuan bekalan air itu tamat dan akan terus membantu penduduk yang terjejas sehingga masalah air selesai," ujarnya.
Sementara itu, Mamat Taib, sangat teruja kerana dapat bersama-sama menyertai misi tersebut yang rata-ratanya orang muda menabur bakti.
“Lebih membanggakan apabila semua yang menjadi sukarelawan terdiri daripada anak muda yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat”. katanya yang juga sukarelawan dari Dun Ajil.
Salah seorang penduduk Kampung Petai Bubus, Senah Chik mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan yang terlibat dan berharap khidmat bakti yang dihulurkan memberi sedikit kelegaan kepada penduduk yang terjejas.
“Setiap hari akan ada petugas yang memantau dan menghantar bekalan air, saya sangat bersyukur diatas keprihatinan yang tunjukkan," ujarnya.