KUALA TERENGGANU, 17 November – Terengganu mengenal pasti 887 atlet muda menerusi Program Pencarian Bakat (TID) sepanjang 2024 hingga 2026 bagi memperkukuh barisan pelapis negeri untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) dan pertandingan di peringkat lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pencarian itu memberi keutamaan kepada sukan yang menawarkan banyak pingat dalam SUKMA.
Menurutnya, seramai 312 atlet dikenal pasti pada 2024, diikuti 232 atlet pada 2025 dan 343 atlet pada 2026.
“Antara sukan yang menjadi keutamaan ialah angkat berat, berbasikal, olahraga, menembak, memanah, judo, tinju, pelayaran, gimnastik artistik, pencak silat dan lawn bowls.
“Selain itu, pencarian bakat turut memberi perhatian kepada sukan lain yang dikenal pasti masih mengalami kekurangan atlet di peringkat elit negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.
Hishamuddin berkata, tumpuan terhadap sukan kategori multimedal itu mengambil kira potensinya untuk menyumbang lebih banyak pingat kepada kontinjen negeri.
Katanya, pendekatan tersebut bertujuan memperluas kumpulan atlet pelapis selain meningkatkan kualiti pembangunan sukan Terengganu.
Pada masa sama, jelas beliau usaha itu membolehkan lebih ramai atlet berpotensi dikenal pasti untuk diketengahkan bagi mewakili negeri dalam SUKMA serta pertandingan di peringkat lebih tinggi.