• 21 Okt 2024 | 18 Rabiul Akhir 1446

84 Nelayan Dungun, Kemaman Terima Bantuan Peralatan

DUNGUN, 20 Oktober - Kerajaan Negeri terus komited menghulurkan bantuan dan meringankan beban nelayan pantai, kali ini melibatkan seramai 84 nelayan dari daerah Dungun dan Kemaman.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata kerajaan Terengganu pada tahun ini telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM300,000 dalam bentuk bantuan peralatan kepada nelayan pantai sebagai langkah proaktif untuk membantu meningkatkan hasil tangkapan bagi memastikan bekalan ikan di negeri ini kekal mencukupi.

“Bantuan peralatan kepada nelayan adalah bertujuan untuk meringankan kos pembelian peralatan untuk menangkap ikan, meningkatkan keefisienan tangkapan ikan serta mengekalkan kualiti hasil tangkapan.

“Bantuan peralatan juga membantu nelayan tempatan meningkatkan pendaratan ikan dan menyumbang kepada sumber bekalan ikan berterusan di negeri ini.

“Peralatan yang diberi pada tahun ini adalah ‘fish finder’, pukat tangsi dan kawat bubu kepada 232 orang nelayan pantai di seluruh Terengganu.

“Pada hari ini, seramai 33 penerima bantuan dari Dungun, manakala daerah Kemaman adalah seramai 51 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Unjam Daerah Dungun dan Bantuan Peralatan kepada Nelayan Pantai Daerah Dungun dan Kemaman di Pengkalan Seberang Pintasan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Amran Hashim.

Sebelum pada itu, Ir Saiful yang mewakil Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, berjaya menyempurnakan program melabuh unjam daerah Dungun.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, bagi tujuan pembangunan unjam di negeri ini, yang melibatkan dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Dungun.

“Pada hari ini, sebanyak 40 unit unjam berjaya dilabuhkan di perairan pantai Seberang Pintasan di lokasi tidak melebihi 5 batu nautika dari pantai.

“Program ini bakal memberi manfaat kepada nelayan tradisional atau nelayan pantai yang mengunakan peralatan tradisional untuk menangkap ikan seperti pukat hanyut, bubu dan alatan kail.

“Pihak kerajaan sangat berharap agar komuniti nelayan terus komited melibatkan diri dalam menjaga unjam yang telah dibina dengan sebaik-baiknya, dan memastikan unjam sentiasa  ditambah untuk menjamin sumber bekalan ikan di kawasan unjam dilabuh,” ujarnya.

Untuk rekod, program pembangunan unjam oleh Kerajaan Terengganu telah bermula pada tahun 2018.

Sehingga tahun 2023, Kerajaan Negeri telah menghabiskan sejumlah RM540,000.00 melibatkan 1,016 unit unjam berjaya dilabuhkan di seluruh perairan Terengganu.