• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

92 Ribu Kediaman Terlibat Banci Pertanian Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 Ogos- Sebanyak 92,000 tempat kediaman dan 480 pertubuhan di negeri Terengganu yang telah dikenal pasti terlibat dalam aktiviti pertanian akan melalui proses Banci Pertanian 2024.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan, setakat ini sebanyak 10,000 tempat kediaman telah selesai dibanci dalam proses yang diajalankan bermula 7 Julai.

Jelasnya, data-data yang dikumpulkan penting untuk negara dan negeri bagi merancang penstrukturan di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Bancian ini merupakan kali keempat, yang kali terakhir dibuat oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2005 iaitu 19 tahun lalu. Jadi, data-data daripada DOSM memang memerlukan penambahbaikan.

"Kali ini, bancian ini saya kira dibuat pada skala besar dan akan melibatkan isi rumah dan pertubuhan, perniagaan yang terlibat dengan aktiviti pertanian merangkumi empat sektor iaitu tanaman makanan dan komoditi, ternakan, perikanan dan akuakultur, perhutanan serta pembalakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Operasi Banci Pertanian Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri, Marlini Sahul Hamid.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan menghimpunkan jabatan dan agensi, pertubuhan  yang secara langsung terlibat dalam aktiviti pertanian.

"Hari ini kita berjaya melaksanakan mesyuarat dan dianggarkan kita akan hanya ada dua mesyuarat iaitu satu hari ini dan selepas selesai bancian nanti, kita anggarkan ia akan berakhir 10 Oktober.

"Kita tidak tertumpu kepada sesuatu perkara, selagi mana ia termasuk dalam aktiviti pertanian yang disebutkan (empat sektor) semua kita akan tengok. Semua data-data akan kita ambil.

"Cuma, kencenderungan negeri kepada apa. Kalau macam Kedah, memang dia tertumpu lebih kepada padi, mungkin Terengganu sekarang dalam pertanian lebih kepada buah-buahan contohnya mungkin kita tertumpu kepada Melon Manis Terengganu," ujarnya.

Beliau menambah, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 yang dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini turut membantu mendapatkan data bancian dengan lebih terperinci.

"Tentulah, seperti yang disebut tadi data yang dibuat ini adalah secara menyeluruh dan pada skala besar, apa yang dibuat oleh DOSM merupakan data bersepadu yang bukan sahaja diambil daripada lapangan, ia juga akan didapatkan daripada agensi dan dikumpulkan dalam satu pengkalan data yang kukuh dan boleh dipakai bukan sahaja untuk negeri, tetapi semua agensi dan individu yang terlibat kerana hasilnya boleh dicapai.

"Data-data yang dikumpulkan nanti kita boleh membuat perancangan rapi tentang haluan pada masa depan atau daripadanya mungkin ada tindakan perlu kita hebatkan lagi dan sebagainya," katanya.

 

 


Tag: