979.76 Kilogram Lebihan Makanan Bazar Diagih Ke Masjid
Oleh: Nooreni Abu Bakar
HULU TERENGGANU, 22 Mac - Sebanyak 979.76 kilogram (kg) lebihan makanan yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar telah berjaya dikumpul dan diagihkan ke beberapa buah masjid di daerah ini.
Jurucakap Unit Korporat dan Komunikasi, Politeknik Hulu Terengganu memberitahu,
ia merupakan satu inisiatif pengurusan lebihan makanan “Food Waste Management” di Bazar Ramadan Rahmah (BRR), Kuala Berang dalam usaha menyelamatkan makanan dan minuman yang tidak habis dijual oleh peniaga bazar.
"Agihannya adalah ke Masjid Al-Hijrah Kampung Tengkawang, Masjid Kampung Kuala Jeneris, Masjid As-Syakirin Kuala Ping, Masjid Seri Mulia Kampung Kepah dan juga pelajar - pelajar Politeknik Hulu Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Terengganu (KPDN) dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) yang melibatkan 29 orang ahli Gerakan Pengguna Siswa Politeknik Hulu Terengganu (GPSPHT) sebagai sukarelawan diadakan selama empat hari iaitu pada 12, 13, 16 dan 17 Mac 2025.
"Program ini selaras dengan Matlamat Kedua (SDG2) Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) iaitu Kelaparan Sifar (Zero Hunger) dan Matlamat Ke-12 (SDG12) iaitu Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab (Responsible Consumption and Production).
"Ianya disambut baik oleh peniaga dan berhasil memberikan pengalaman berharga kepada semua sukarelawan," ujarnya lagi.