99 Peratus Program, Projek Pertanian Terengganu Berjaya Dilaksanakan

BESUT, 29 Januari – Kerajaan negeri berjaya melaksanakan lebih 99 peratus program atau projek dalam kalendar Tahun Pertanian Terengganu (TPT) 2021 sekali gus membawa manfaat buat lima ribu petani serta peladang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, daripada peratusan itu, kesemua 45 projek pembangunan dijalankan melibatkan dana sebanyak RM12.4 juta.

Katanya, antara projek tersebut ialah operasi melabuhkan 58 unit tukun bernilai RM1.069 juta di perairan negeri untuk manfaat nelayan.

“Kami meredah laut dengan gelombang angin Tenggara bulan Oktober untuk selesaikan proses labuh tukun ini dari Kemaman sampai ke Besut,” ujarnya ketika berucap merasmikan Karnival Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 di Dataran Pekan Jabi, semalam.

Katanya lagi, para nelayan di Jeti Kampung Batin Seberang Takir, Kampung Tok Fakir Merchang, Kampung Fikri dan Kampung Geliga, Kemaman yang sekian lama menggunakan kemudahan jeti kayu uzur, merbahaya serta berisiko telah menerima jeti konkrit.

Beliau berkata, nelayan pantai yang tidak cukup modal hendak membeli peralatan, kerajaan negeri membelanjakan RM300,000 bagi bantuan peralatan untuk nelayan zon A seperti fishfinder, peralatan memancing, kawat bubu dan pukat tangsi.

"Ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hasil akuakultur tidak dapat dipasarkan di mana kerajaan memperuntukkan RM200,000 untuk menyalurkan bantuan makanan ikan kepada 700 penternak akuakultur air tawar dan air payau yang berdaftar seluruh negeri," jelasnya.

Beliau turut menyentuh kawasan sawah padi Kampung Pengkalan Nangka, Kampung Bharu dan Tok Saboh berjumlah ribuan ekar yang terbiar disebabkan kerosakan empangan sejak 2012, kini berjaya dihijaukan kembali.

“Projek yang telah memberi impak besar kepada petani dan penghasilan makanan negeri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi.

Tambahnya, pesawah di Skim Pengairan Che Mohid Setiu yang sekian lama berhadapan masalah pengairan, akhirnya diselesaikan dilema mereka dengan pembinaan empangan low weir dengan peruntukan kerajaan negeri menjadikan 200 hektar tanah sawah kembali subur menghijau.

Secara dasarnya, ujar beliau kawasan penanaman padi aktif terutama yang berada dalam kawasan Jelapang Padi IADA Ketara adalah perlu dikekalkan sebagai sawah padi demi kelangsungan sumber bekalan makanan negeri.

“Ketika penanam tembikai tak dapat pasarkan hasil dari lebih 200 ekar kebun disebabkan PKP pada Mac 2020, kerajaan negeri belanja lebih RM200,000 untuk beli hasil tembikai dan buka lebih 40 outlet jualan untuk bantu pemasaran,” ujarnya lagi.

Di samping itu, katanya pelaksanaan pelbagai program dan bantuan dari Januari-November 2021 telah memberi manfaat kepada seramai 3,447 petani, 622 penternak dan 1,880 nelayan dengan nilai RM3,051,380.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha kerajaan negeri dalan bidang pertanian mula menampakkan hasil dengan peningkatan SSL makanan ruji padi, pada tahun 2018 (43 peratus), 2019 (48 peratus), 2020 (53 peratus) dan SSL 2021 mencapai 55.8 peratus.

Azman turut mengulas tentang projek perumahan Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di tiga tapak Besut, Setiu dan Kemaman.

"Pembinaan 50 unit rumah di setiap tapak dengan kos RM24 juta iaitu RM13 juta daripada peruntukan LKIM dan baki RM11 juta dari peruntukan kerajaan negeri.

"PSN Kemaman dan Besut telah dibuat majlis pecah tanah pada 30 Disember 2021 dan 23 Januari 2022 seterusnya akan disusuli majlis pecah tanah untuk Setiu," ujarnya.