KUALA TERENGGANU, 8 April - Abdul Hadi Nuhairi, 25, dari Daerah Kemaman telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri bagi kategori 30 juzuk bahagian lelaki.
Abdul Hadi berkata kemenangan itu sangat berharga pada dirinya kerana ia merupakan penyertaan kali terakhir.
"Sejujurnya saya sangat gembira dan bersyukur setelah terlibat semenjak tahun 2013 ketika masih belajar di sekolah Menengah Imtiaz Dungun.
"Kemenangan ini adalah untuk ibu bapa saya yang selama ini memberi dorongan serta semangat yang kuat buat saya dalam menjaga hafalan al-Quran ini.
"Tidak lupa kepada para guru yang pernah membimbing saya serta memberikan pertolongan samada dari segi fizikal atau mental termasuk rakan-rakan," ujarnya.
Hadi berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Majlis hafazan Al-Quran peringkat negeri hari ini, di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI) pada hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan negeri, Samiun Salleh, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, proses untuk mengingati al-Quran dilalui dengan cabaran yang tersendiri.
"Saya terpaksa menguruskan waktu dalam kesibukan menghabiskan pengajian sarjana saya di Universiti Malaya dalam bidang syariah dan ekonomi serta dalam masa yang sama menetapkan waktu untuk al-Quran, suasana tidak sama sebagaimana di bangku sekolah dahulu," ujarnya.
Sementara itu, pemenang bagi kategori 30 juzuk wanita, Mawaddah Mohd Rani, 19, berkata kejayaan diperolehinya itu merupakan hasil didikan ibu bapanya.
"Serta para guru di Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu membimbing saya, di mana saya sebelum ini banyak menyertai pertandingan hafazan di peringkat sekolah.
"Ini kali pertama saya menyertai kategori ini dan dan bersyukur memenanginya. Minat menghafal al-Quran ini datangnya daripada diri sendiri," ujarnya.
Mawaddah turut berkesempatan memberi nasihat kepada mereka yang berminat untuk mejadi penghafal al-Quran, katanya setiap individu perlu mempunyai semangat yang tinggi serta perlu berusaha tanpa putus asa.