ADUN Sura Raih PhD Doktor Kesihatan

PULAU PINANG, 20 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, telah menerima Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Kesihatan Awam daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) , Kampus Induk USM, Pulau Pinang baru-baru ini.

Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin secara peribadi menyifatkan kejayaan peribadi itu menjadi tanda dedikasi beliau dalam dunia akademik serta penglibatannya yang aktif dalam bidang kesihatan awam, politik, dan sosial.

Beliau juga terkenal sebagai seorang pemimpin yang turut aktif dalam penyelidikan dan pendidikan, dengan hasrat untuk memperbaiki kualiti hidup rakyat, khususnya dalam kawasan Sura.

"Penghargaan ini bukan hanya milik saya, tetapi juga milik keluarga, sahabat, serta seluruh masyarakat yang telah memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademik saya. Saya berazam untuk terus memberi sumbangan yang bermakna kepada pembangunan negara dan komuniti Sura," ujarnya penuh rasa syukur.

Di kesempatan sama, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin turut mengingatkan golongan muda agar memanfaatkan sepenuhnya masa muda mereka untuk menimba ilmu dan berusaha menjadi individu yang bermanfaat kepada agama, bangsa, dan negara.

"Semoga perjalanan ini memberi inspirasi kepada pemuda di luar sana agar memaksimumkan sebaik mungkin waktu muda dengan ilmu dan dakwah. Ingat, permulaan kepada kebangkitan Islam adalah ilmu dan kita kena jadi pejuang yang berilmu," katanya.

Dengan pencapaian ini, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin tidak hanya membuktikan kebolehannya dalam dunia akademik, tetapi juga membuktikan bahawa seorang pemimpin yang berilmu dapat memberi impak yang besar dalam memajukan negara dan rakyat.

 


Tag: