HULU TERENGGANU, 1 Disember - Sebuah kediaman di Taman Dato Haji Abdul Rahman dekat sini berhadapan risiko bahaya susulan kejadian tanah mendap dan tebing runtuh yang berlaku selepas hujan lebat petang semalam.
Kejadian tanah runtuh dipercayai berlaku sekitar jam 1 hingga 3 pagi itu turut merebahkan tangki air milik penghuni yang terletak di tebing alur sungai berkenaan.
Menurut Muhammad Saufi Hashim, 38, kejadian ini kali pertama berlaku, berkemungkinan berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, ketika kejadian, dia sekeluarga langsung tidak menyedarinya dan hanya tahu pada waktu pagi.
"Tiba waktu pagi, kakak saya bersungut bekalan air terputus dan menaruh syak tangki bocor.
"Saya pun keluar nak periksa dan terkejut tengok keadaan yang mana tangki air dah terjunam dalam alur tersebut beserta peralatan kerjanya," ujarnya ketika ditemui.
Namun bapa kepada empat anak itu bersyukur kejadian tanah runtuh yang berlaku bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau sebarang kecederaan.
Justeru itu, dia membuat keputusan berpindah rumah demi keselamatan mereka sekeluarga kerana masih berlaku pergerakan tanah yang menyebabkan rumahnya berisiko runtuh.
Sementara itu, kejadian tersebut telah mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan agensi-agensi berkaitan yang telah turun ke lokasi berkenaan petang tadi.