lightning-solid
Berita :
Ahli Parlimen Dungun Fokus Mekanisme Cukai Golongan Kaya Selepas HVGT Dibatalkan
Ahli Parlimen Dungun Fokus Mekanisme Cukai Golongan Kaya Selepas HVGT Dibatalkan
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
25 Nov 25
183

KUALA LUMPUR, 25 November — Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli meminta penjelasan daripada Menteri Kewangan berhubung langkah kerajaan memastikan cukai terhadap golongan berkemampuan dan pemilik barangan mewah terus dipungut secara berkesan, susulan pembatalan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (High Value Goods Tax – HVGT).

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited memperkukuh kedudukan fiskal negara, namun tetap memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas.

Menurut beliau, setiap langkah penambahbaikan hasil negara dirancang untuk dilaksanakan secara berhati-hati melalui libat urus dengan pihak berkepentingan, dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan fiskal dan kemampuan rakyat.

"Walaupun HVGT tidak diteruskan, kerajaan telah menyemak semula prinsip asas cukai tersebut dan menyelaraskannya melalui penambahbaikan kepada dasar percukaian sedia ada. Semakan semula kadar cukai jualan serta peluasan skop cukai perkhidmatan di bawah SST telah mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.

"Di bawah pendekatan baharu ini, barangan mewah dan barangan pilihan kini dikenakan cukai jualan pada kadar 5 atau 10 peratus, selaras dengan matlamat asal HVGT untuk memastikan golongan berkemampuan terus menyumbang secara adil kepada hasil negara. 

"Barangan tersebut termasuk pakaian premium, jam tangan serta barangan lain yang lazimnya dikaitkan dengan pengguna berpendapatan tinggi," ujarnya

Jelas beliau, pendekatan mengenakan cukai ke atas barangan bukan asas lebih telus dan konsisten, selain tidak bergantung kepada takrifan khusus 'barangan mewah' yang boleh menimbulkan kekeliruan.

"Langkah ini juga dianggap lebih menyeluruh kerana mengambil kira kesan terhadap industri dan pengguna, di samping memastikan pelaksanaan yang lebih lancar dan efektif melalui sistem percukaian sedia ada.

"Kerajaan akan terus menilai keberkesanan pendekatan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan struktur percukaian negara kekal progresif, mampan dan selari dengan keperluan fiskal negara," katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan