Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rai Wira Yang Tidak Didendangkan
Ramadan kali ini cukup bermakna bagi golongan yang cukup berjasa kepada penduduk setempat seperti pemandu teksi, tukang gunting rambut, petugas pos dan penggali kubur apabila diraikan serta menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Hulu Terengganu,Dato'Jailani Johari, hari ini.
Jailani berkata, golongan ini merupakan golongan wira yang tidak didendangkan walaupun jasa yang ditabur mereka tiada ternilai kepada masyarakat.
"Sebagai insan biasa yang hidup dalam kehidupan bermasyarakat, saya cukup terhutang budi kepada golongan ini yang memainkan peranan yang cukup penting kepada semua pihak.
“Merekalah golongan wira yang tidak didendang yang harus dihargai kerana menunaikan fardu kifayah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Meraikan Wira Yang Tidak Didendangkan, di perkarangan Medan MARA,Ajil.
Jailani menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pemandu teksi |
Jailani juga menggesa agar umat Islam di negeri ini memanfaatkan bulan Ramadan bagi melakukan amal ibadat dan menjauhi perkara kemungkaran termasuk yang mendatangkan permusuhan sesama sendiri.
Salah seorang penggali kubur yang menerima sumbangan Zamani Chik |
Sementara itu, Zamani Chik,48, seorang penggali kubur berkata, dia berasa sangat bersyukur kerana menerima sumbangan berupa pakaian itu.
“Saya amat teruja apabila dipilih untuk menerima sumbangan dan ini merupakan kali pertama mendapat penghargaan ini sejak 10 tahun berkhidmat.Saya ucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang tidak melupakan jasa dan pengorbanan golongan-golongan ini.
“Sebenarnya kami tidak pernah meminta apa-apa balasan, cukuplah sekadar menghargai segala kerja-kerja kami demi masyarakat Islam dan mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat,” katanya.