KUALA TERENGGANU, 9 September - Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff menepati ramalan apabila berjaya memenangi juara keseluruhan kategori individu terbaik (jersi biru) semalam.
Aiman berjaya mempertahankan kategori individu terbaik (jersi biru) sepanjang lima hari perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23).
Anak jati Terengganu itu juga berjaya mempertahankan gelaran raja bukit (jersi polkadot) selama tiga kali pertandingan iaitu pada saingan pertama, keempat dan kelima.
Beliau berjaya mencatat masa cemerlang 0:57:23 sekali gus membolot dua gelaran pada hari ini.
Peringkat kelima perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) bermula dan berakhir di tengah Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Perlumbaan melibatkan laluan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu ke tangki air, berpatah balik ke KTCC Mall melalui Pasarnita dan kembali semula ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebanyak 12 kali.
Perjalanan tersebut melibatkan laluan sepanjang 145 km.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli pula berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) sepanjang pertandingan.
Bagi jersi putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan jersi merah jambu (kelab tempatan terbaik) masing-masing dimenangi oleh pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dan pelumba TSS Racing, Anuar Manan.
Untuk rekod, Tour Gateh D'Tranung melibatkan lima peringkat perlumbaan dengan melalui semua daerah di negeri ini serta menawarkan lima kategori utama.
Lima kategori tersebut iaitu Elit, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan Bawah 21 Tahun.