Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
MARANG, 7 Jun - Kerajaan negeri menjenamakan semula nira kelapa atau lebih dikenali air tuak oleh penduduk Terengganu sebagai minuman isotonik dengan nama Sweet Nira Terengganu bagi meluaskan pasaran produk berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim berkata, industri air nira merupakan industri yang dapat menjana pendapatan jutaan ringgit.
"Jabatan Pertanian Terengganu melihat air nira adalah satu produk berpotensi besar yang boleh dikomersialkan. Tambahan pula, minuman ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia kerana khasiatnya yang tinggi dan juga semula jadi, tanpa bahan pengawet, bahan kimia dan pewarna.
“Insya-Allah dengan adanya potensi ini, kerajaan negeri akan mengambil langkah-langkah yang sebaiknya melalui Jabatan Pertanian Terengganu agar industri ini mampu menjadi industri yang mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi rakyat kita dalam masa yang sama menyumbang ke arah jaminan makanan (food security) negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Minuman Isotonik (Air Nira) Negeri Terengganu bertempat di Dataran Batu Putih, hari ini.
Jelas Dr Azman, Sweet Nira Terengganu akan dikomersialkan serta-merta melibatkan 28 orang pengusaha berdaftar untuk menghasilkan air nira yang menghasilkan lebih 900,000 liter dengan. pendapatan tahunan dalam RM6.3 juta.
Menurut beliau, pasaran lokal telah lama ditembusi dan sijil amalan pertanian baik (MyGap) diperlukan untuk menembusi pasar raya ternama di Malaysia.
"Untuk makluman, sebatang pokok kelapa tanpa pengairan boleh menghasilkan sekitar 2.3L sehari. Jika seorang pekebun itu mempunyai 100 batang pokok, pekebun itu akan untung sebanyak RM2,300 sehari bersamaan dengan RM69,000 sebulan.
“Selain produk air nira, gula merah (nissan kerek) juga akan turut dikomersialkan ke pasaran. Gula merah turut menjadi tumpuan orang ramai kerana telah dijadikan bahan alternatif untuk gula putih biasa dan terbukti lebih berkhasiat khususnya untuk yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes)," katanya.