Akhirnya Fahmi Pergi Tinggalkan Kami Buat Selamanya


HULU TERENGGANU, 14 Jun - Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf Mohd Shukri yang sedang kritikal di Hospital Safarat, Mesir akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.00 petang  (8.00 malam waktu Malaysia) semalam.

Pelajar Tahun Tiga Jurusan Syariah Islamiah di universiti itu dikejarkan ke hospital tersebut  dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Menurut ibunya, Norhayati Jusoh@Sidek, 51,  dia dan suaminya, Mhd Shukri Husin, 54, sepatutnya terbang ke Mesir pada Sabtu ini untuk menziarah anak mereka, namun Mohammad Fahmi terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka buat selamanya.

"Saya dapat perkhabaran itu dari sahabat arwah dan ketika mendengarnya terasa gelap dunia ini, rasa seolah-olah hilang segalanya.

"Rasa sedih yang amat sangat sebab tak sempat jumpa arwah buat kali terakhir namun kami sekeluarga redha dengan ketentuan Tuhan yang lebih menyayanginya," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bukit Perah, Ajil semalam.

Arwah yang disifatkan seorang anak yang baik, banyak membaca al Quran, dan menghormati ibu bapanya dikebumikan di Mesir bagi menghormati keadaan dan tuntutan agama.

"Impian terakhir nak bawa balik jenazah ke sini tetapi atas sebab tuntutan agama lebih afdal kebumikan di sana, jadi kami redha.

"Rasa puas hati sebab cita-cita arwah dah tercapai nak belajar al Quran di Mesir dan lega sebab hasrat arwah dah tercapai,"katanya lagi.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata ibu bapa Allahyarham akan tetap diterbangkan ke sana dengan ditemani  beliau.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan segera RM20,000 untuk menampung kos penerbangan dan perbelanjaan mereka di sana nanti.

"Walaupun hasrat mereka menziarah Allahyarham di hospital tidak kesampaian namun kita tetap terbangkan mereka ke sana untuk menziarahi pusara arwah nanti," ujar Maliaman.




Tag: