'Bah' Gelombang Ketiga Landa Hulu Terengganu, Dua PPS Dibuka
KUALA TERENGGANU, 21 Februari- Selepas berpesta gol membelasah TNB Thunderbolts (TNB-T) dengan keputusan 8-1, Sabtu lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) sekali lagi tampil garang di laman sendiri dengan mencatat kemenangan 5-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan keenam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 di Stadium Hoki Batu Buruk, hari ini.
Anak-anak buah Seo Jongho tidak menunggu lama untuk meledak gol pertama. Bermula dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-5, pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jonghyun menyempurnakan hantaran Muhammad Marhan Mohd Jalil untuk tuan rumah selesa di depan dengan kelebihan satu jaringan.
Enam minit berselang, Jang melakukan hantaran jauh ke kubu lawan lalu disudahkan dengan sempurna oleh Muhammad Shahrin Izzuddin Shamsuri untuk melebarkan kelebihan kepada 2-0.
Ketinggalan dua jaringan, pelawat terus berkampung di kubu sendiri sebelum mencorak serangan ke kawasan THT. Namun, barisan pertahanan tuan rumah tenang mematahkan serangan-serangan yang datang.
Memasuki minit ke-28, Mohammad Firdaus Omar berjaya merampas penguasaan bola daripada pertahanan lawan sebelum penyerang kebangsaan, Faizal Saari melorongkan bola kepada Shello Silverius dalam kawasan D lawan untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol ATM, Mohd Khairul Afendy Kamarulzaman.
Pemain kebangsaan itu tenang menggelecek penjaga gol sebelum menjaringkan gol ketiga perlawanan untuk THT sebelum separuh masa pertama ditamatkan.
Memasuki babak kedua, ATM berjaya merapatkan jurang jaringan melalui Mohammad Amirul Hanis Abdul Aziz hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-37.
Perlawanan di babak kedua lebih seimbang antara kedua-dua pasukan dengan lebih banyak bertukar ancaman ke gawang lawan.
Pada minit ke-55, satu lorongan deras Muhammad Arif Syafie Ishak dari kawasan tengah berjaya dikuis Shello untuk gol keempat The Turtle.
Tiga minit kemudian, kapten pasukan, Mohd Fitri Saari melengkapkan petang gemilang untuk THT apabila melakukan gerakan solo melepasi dua pertahanan sebelum melakukan pukulan deras untuk jaringan terakhir perlawanan.
THT kini mengungguli puncak liga dengan 16 mata selepas enam perlawanan, meninggalkan Maybank di tangga kedua dengan perbezaan satu mata.