KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh negara pada tahun ini dengan bertemakan surah Al-Mulk harus disambut baik semua pihak demi memartabatkan al-Quran tercapai.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, supaya masyarakat sedar akan kepentingan menjadikan ia sebagai panduan utama dalam aktiviti seharian.
"Dalam erti kata yang lain boleh diibaratkan satu pekeliling dari langit yang membawa arahan daripada Allah SWT demi memastikan kehidupan kita ini terarah sebagaimana yang dikehendaki.
"Supaya kita tidak tersesat dan menyimpang daripada tujuan sebenar kehidupan di dunia ini. Jika kita tidak fahami dan hayati maka kita tidak akan selamat.
"Oleh kerana itu saya menasihati diri saya dan juga seluruh masyarakat agar mendampingi al-Quran dengan mengamalkannya melalui tuntutan sebenar yang terkandung di dalamnya," ujar beliau.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan program World #QuranHour, di Dewan Teater, Perpustakaan Awam negeri baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ridzuan berkata program yang bertemakan 'Dunia Berbudi dan Penyayang' tersebut diharap mampu memberi galakkan dan didikan kepada rakyat untuk mengamalkan nilai-nilai positif.
"Juga berupaya memupuk budaya kerja yang cemerlang serta melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang dilakukan.
"Melalui peringatan bahawa setiap apa yang dilakukan di dunia ini semuanya akan dihisab dan dibawa ke hadapan pengadilan Allah untuk menerima balasan yang setimpal.
"Dengan semangat itu mudah-mudahan akan menjadikan seluruh masyarakat adalah manusia yang terbaik dalam semua perkara," katanya.
Dalam pada itu Pengarah PPAT, Norliza Ismail berkata penyertaan rakyat negeri ini dalam menjayakan program berkenaan saban tahun berlaku peningkatan yang tinggi.
"Terdiri daripada segenap lapisan masyarakat daripada pegawai, kakitangan pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian.
"Telah meletakkan negeri ini kekal mengungguli tempat pertama dalam menyertai program ini,"ujarnya.