MARANG, 25 Januari – Penemuan bangkai seekor anak penyu di Pantai Kelulut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan pantai dan kelestarian hidupan laut.
Ahli Jawatankuasa Geng Plastik Ijau (GPI) Pusat, Sukri Sipit berkata, penemuan itu menjadi yang keempat direkodkan GPI.
Katanya, bangkai anak penyu tersebut dijumpai pada program Ameerah Cintai Alam: Bersih Pantai Kelulut, hasil kerjasama antara Ameerah Rhu Rendang dan GPI.
“Sepanjang GPI beroperasi, ini kali keempat kami menjumpai bangkai penyu. Kali ini melibatkan anak penyu jenis agar. Keadaan ini amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Sehubungan itu, Sukri menggesa orang ramai agar lebih bertanggungjawab ketika berkunjung ke pantai.
“Cintailah kebersihan pantai kita. Jangan tinggalkan sampah merata-rata. Kalau ternampak sampah, tolong buang. Sampaikan juga pesan ini kepada rakan-rakan,” katanya.
“Penyu adalah ikon Negeri Terengganu. Jika perkara seperti ini berterusan, penyu akan berdepan risiko kepupusan,” katanya.
“Usaha menjaga pantai mesti seiring dengan kesedaran. Pantai bersih bukan sekadar cantik dipandang, tetapi selamat untuk hidupan laut,” ujarnya.
Dalam program tersebut, sebanyak 452.9 kilogram sampah berjaya dikutip, sekali gus mencerminkan tahap pencemaran yang masih membimbangkan dan memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.