‘Bangunan Istanbul’ Bakal Dijadikan Pusat Operasi SRIDI Ajil
Oleh: Khairuddin Yusoff
HULU TERENGGANU, 14 November- Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Ajil akan beroperasi di Bangunan Pusat Dadangan Ajil atau lebih dikenali sebagai ‘Bangunan Istanbul’ Januari hadapan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, enam lot pintu yang dipilih daripada bangunan tersebut akan diselenggara sebaik mungkin untuk keselesaan pelajar mengikuti sesi pembelajaran.
"Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama untuk melihat struktur bangunan yang akan digunakan untuk proses pembelajaran SRIDI yang akan dimulakan pada sesi persekolahan awal 2019.
"Bangunan ada yang perlu dilakukan sedikit penyelenggaraan dan tindakan sewajarnya telah diambil untuk membaikpulih bangunan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan ke tapak Bangunan Pusat Dadangan Ajil, semalam.
Turut hadir, Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pendidikan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Lothman Awang dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Zainal Abidin Mohamed,
Maliaman berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan JHEAT kerana memilih bangunan tersebut untuk dijadikan pusat operasi SRIDI Ajil.
Dalam perkembangan sama katanya, ibubapa tidak perlu risau dengan yuran pembelajaran di SRIDI kerana ianya berpatutan.
"InsyaAllah, kita tidak akan membebankan penjaga dari segi yuran bulanan kerana mereka hanya perlu membayar yuran makanan sebanyak RM160 sebulan yang mana bukan bayaran tetap tetapi bergantung kepada hari persekolahan dan yuran tahunan RM130 setahun tanpa kos pengurusan,’ ujarnya.
Sementara itu menurut Zainal, proses penyelenggaraan dan pembaikian bangunan itu akan dilakukan secara berperingkat dan berterusan untuk memberi keselesaan sepenuhnya kepada pelajar.
"Kita akan melakukan kerja- kerja penyelenggaraan kecil dahulu bagi membolehkan pelajar sekolah ini masuk pada waktu yang ditetapkan.
"Anggaran kos penyelenggaraan kira- kira RM177,000 tetapi apabila dibuat penilaian yang teliti ianya berkemungkinan mencecah RM200,000,” ujarnya.
Katanya, buat permulaan pihaknya akan memasang kipas, penyaman udara dan lain-lain yang berkaitan membabitkan peruntukan lebih kurang RM39,000.