KUALA TERENGGANU, 19 November - Kemaman menjadi daerah pertama di Terengganu yang dilanda banjir pada musim Monsun Timur Laut apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di di Balairaya Meraga Beris.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan setakat ini 12 orang daripada dua keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sehingga kini operasi pemindahan masih berjalan di RMM Teluk Kalong dan juga di Kampung Baru kemasik berikutan trend air yang semakin menaik.
Jumlah mangsa dijangka terus meningkat dan lebih banyak PPS akan dibuka memandangkan hujan masih berterusan di hampir semua tempat di Terengganu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Terengganu sehingga Sabtu ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Datuk Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan hari ini berkata analisis terhadap ramalan cuaca terkini menunjukkan kekuatan luruan monsun diramal meningkat pada 27 November hingga 1 Disember.
Menurutnya, keadaan berkenaan berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh itu.