Bazlan Kunjungi Kakitangan UKOM Terlantar Sakit


Nasib yang menimpa kakitangan Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Esah Abdullah yang kini terlantar di rumahnya di Bukit Wan, Batu Rakit terus mendapat perhatian pemimpin kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat dan bertanya perkembangan kesihatan Esah, yang diserang strok sejak 3 Disember lalu.

Sebelum itu, beliau turut melawat Ahli Jawatankuasa (AJK) Keselamatan Dan Kemajuan Kampung Bukit Wan serta bekas AJK Wanita Setiu dan Setiausaha Kerja Wanita UMNO Negeri itu, ketika sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

“Saya berharap dengan sedikit sumbangan ini, dapat meringankan bebanan Esah yang kini tidak dapat menjalankan tugasan harian dan bekerja seperti biasa. 

"Kita bukan sahaja menghargai jasa beliau yang menyandang pelbagai jawatan penting dalam politik dari peringkat cawangan sehingga negeri, malah dalam kerjaya sebagai wartawan juga, kerana sudah banyak sumbangan kepada masyarakat serta kepimpinan negeri menerusi penulisan, yang bermula sejak 1979 lagi, " katanya kepada Teganukita ketika ditemui selepas lawatan itu.


Dalam kunjungan itu, beliau menyampaikan sumbangan kerusi roda serta bantuan wang tunai. 

Hadir sama Timbalan pengarah (Operasi) UKOM, Ruslan Abdul Rahman dan wakil kelab Kebajikan UKOM.

Bazlan berkata, selain bantuan kerusi roda berkenaan, pihaknya juga akan mendapatkan katil (hospital) yang boleh dilaras dan bersesuaian untuk kemudahan serta keselesaannya sepanjang proses pemulihan itu.



Tag: