KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Agamawan termasuk tindakan terbaharu Mufti Pulau Pinang telah tampil memberikan penjelasan serta menyatakan pendirian berlandaskan syariat Islam berkaitan isu bendera putih agar difahami dengan baik oleh rakyat Malaysia.
Namun apa yang berlaku sangat menyedihkan apabila sebahagian netizen di kalangan muslim menjadikan media sosial tempat memaki hamun golongan berkenaan tanpa mengira dosa dan pahala.
Pendakwah Selebriti, Ustaz Jafri Abu Bakar berkata sepatutnya rakyat perlu faham apa yang dinyatakan adalah mengikut garis panduan didalam Islam bagaimana sepatutnya menghadapi situasi yang berlaku pada ketika ini tanpa mempunyai apa-apa kepentingan sebaliknya berperanan untuk mendidik masyarakat.
"Menghentam seolahnya tidak ada malaikat kiri dan dan kanan, dengan mewujudkan akaun palsu melalui 'Facebook' bertujun memaki hamun, mencipta fitnah,sehingga mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya disebut.
"Sedangkan Allah menilai dan melihat setiap perbuatan. Apabila terjadi isu sebegini kena kembali kepada sejarah dihadapi oleh Rasulullah dan umat terdahulu, balik kepada panduan al-Qur'an," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika tampil pada Program Forum Perdana Munajat Rakyat Terengganu, di TV Darul Iman (TVDI), semalam.
Program itu turut menampilkan Ustaz Abdullah khairi serta Imam Muda Fakhrurazi Hussin.
Mejelaskan solusi dalam menghadapi situasi sukar pada ketika ini, Jafri berkata jiran-jiran harus mengambil berat.
"Mainkan peranan, tidak sempurna iman seseorang jika dia boleh tidur lena sedangkan ada saudara dan jiran tetangga dalam kelaparan.
"Islam mengajar umatnya, bukan orang yang berada dalam kesusahan itu kena meminta, tetapi orang sekeliling perlu mengambil kisah keadaan mereka yang memerlukan bantuan," katanya.