Bengkel Hala Tuju Bagi Tingkat Sektor Pertanian Negeri


Dr Azman memberi taklimat sempena Bengkel Hala Tuju Pertanian Negeri Terengganu 2019 -2023


BESUT - Bengkel Hala Tuju Pertanian Negeri Terengganu 2019 -2023 dianjurkan bagi merangka pelan strategi bertindak dalam tempoh lima tahun akan datang dengan beberapa matlamat bagi sektor pertanian negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pelaksanaan bengkel selama tiga hari menekankan tiga objektif utama iaitu menjamin sumber ‘food security’ bagi negeri, memajukan ekonomi berasaskan pertanian dan asas tani serta menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan.

Katanya, penglibatan golongan sasar dalam industri pertanian Terengganu terdiri dari rakyat awam terutama golongan belia, persatuan atau koperasi, syarikat serta pelabur, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta jabatan dan agensi kerajaan sebagai pemudah cara.

“Kita fokus kepada pemulihan dan memanfaatkan sebaiknya semua kemudahan dan infrastruktur pertanian dan asas tani yang telah sedia ada termasuk penyenaraian dan kemaskini semula semua status tanah-tanah kerajaan yang dirizabkan dan diwartakan bagi tujuan pertanian juga penternakan.

“Kita juga mencari peluang baru dengan memanfaatkan kira-kira 12,000 hektar lagi tanah terbiar yang ada di negeri kita dan memperkayakan sumber perikanan dan penternakan yang terdapat di dalam negeri,’’katanya dalam satu kenyataan kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI, hari ini.



Program yang diadakan di Demong Beach Resort Besut pada 6,7 dan 8 Oktober lalu melibatkan 50 peserta yang mewakili pelbagai sektor seperti kerajaan sebagai pembuat dasar dan pelaksana dasar, tenaga cendekiawan dan akademik dengan inovasi dan idea-idea baru, penggiat bidang pertanian dan asas tani samada mewakili individu atau persatuan termasuk veteran-veteran bidang pertanian yang kaya dengan pengalaman serta asam garam pertanian.

Tambah beliau, bentuk pelan hala tuju pertanian yang dirangka bermatlamatkan untuk menggariskan suatu pelan strategik yang menjadi panduan bertindak dalam tempoh lima tahun akan datang dengan ciri-ciri yang ada.

“Antara ciri yang perlu ada ialah kemas serta lengkap mewakili semua sektor dan kelompok sasaran malah jangan ada pemain dalam industri ini yang tercicir dari perhatian kerana ketika syarikat besar kita raikan, dalam masa yang sama seorang petani kecil yang berjiwa besar juga kita tak lupakan.

“Praktikal dan realistik dengan cabaran serta realiti semasa kita di negeri Terengganu dan kita mahu satu pelan yang boleh dijadikan sebagai satu rujukan akademik tapi dalam masa yang sama boleh difahami oleh seorang petani awam tentang apa yang kerajaan sedang buat untuk mereka,” ujarnya lagi.

Azman juga berkata, satu pelan yang lengkap dari sebelum suatu projek pertanian diusahakan, sehingga ia diusahakan, dituai hasil, pemasaran dan persijilan kualiti akan turut dilaksanakan.

Tag: