Benteng Penahan Runtuh Akan Dibaiki Segera – Sulaiman Sulong
Sulaiman (berbaju putih) meninjau keadaan benteng penahan tanah yang runtuh bersama penduduk kampung. |
Oleh : Khairan Mat Jusoh
MARANG, 12 Mei – Kerja-kerja membaiki benteng penahan tanah yang runtuh di Kampung Jenang, Jumaat lalu akan diselesaikan kurang daripada tiga minggu berikutan terdapat beberapa masalah yang perlu diatasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menyatakan komitmen untuk menangani musibah berkenaan dengan segera.
"Kerja baik pulih semula benteng berukuran kira-kira 12 meter panjang dan enam kaki tinggi ini akan cuba disiapkan secepat mungkin dengan anggaran kos antara RM 7,000 hingga 8,000.
Bagaimanapun, ia mungkin akan memakan masa memandangkan sekarang ini bulan Ramadan yang mana kita berdepan situasi tenaga kerja dan masa yang terhad,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di lokasi kejadian, semalam.
Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan turut mengarahkan langkah sementara bagi mengatasi masalah berlarutan dengan memasang kanvas bagi menutup tanah daripada ditimpa hujan.
Sulaiman berkata, kejadian benteng penahan runtuh tersebut berlaku kira-kira jam 11.00 malam dan beliau dimaklumkan pada awal pagi semalam.
Runtuhan berkenaan menjejaskan sebuah keluarga yang tinggal berdekatan, namun tiada sebarang kerosakan atau kecederaan berlaku melainkan amaran berjaga-jaga dengan perkembangan insiden itu.
Mangsa, Zalina Deraman, 33, berada di rumahnya ketika kejadian menceritakan suasana ketika itu.
“Saya terkejut apabila terdengar dentuman kuat ketika ingin melelapkan mata di bilik tidur lantas keluar dan mendapati benteng penahan tanah di luar rumah telah runtuh.
"Apabila saya melihat kejadia itu, saya terus hubungi suami yang kebetulan tiada di rumah dan hanya membuat laporan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung, pagi tadi kerana kejadian berlaku di lewat malam,” katanya.
Kanvas digunakan untuk sementara bagi mengelakkan runtuhan lebih parah. |