Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta

SETIU, 1 Disember – Kampung Telaga Papan dilanda tragedi meruntun hati apabila beberapa bot termasuk bot gentian kaca milik nelayan tempatan dihanyutkan ombak besar hingga mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta.

Seorang pemilik bot yang terkesan dengan kejadian itu, Jamaludin Mohamad, 57, berkata tragedi itu dipercayai berpunca daripada tekanan air banjir dan ombak besar yang menyebabkan tebing pecah pada tengah malam tadi.

“Saya hanya tahu tentang musibah ini pada awal pagi tadi selepas dimaklumkan oleh adik saya, yang juga tekong bot. 

“Beliau menyedari kejadian itu sekitar jam 6 pagi ketika rutin harian untuk memeriksa bot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pesisir pantai Kg Telaga Papan, di sini hari ini.

Tambah Jamaludin, sebaik tiba di jeti yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai, dia terkejut dan sedih apabila melihat semua bot milik nelayan kampung telah hilang. 

“Tali pengikat bot-bot itu putus, menyebabkan semuanya dihanyutkan ombak. 

“Saya terus ke pantai, dan apa yang saya lihat amat memilukan, bot-bot bersepah-sepah seperti sampah yang dibawa arus,” katanya.

Jamaludin, yang memiliki dua bot kelas A, satu bot kelas B, dan beberapa bot gentian kaca, menganggarkan kerugiannya lebih daripada RM200,000.

Meskipun begitu, dia merasa sedikit lega kerana kesemua bot yang hanyut berjaya diselamatkan. 

“Semua bot dapat diselamatkan, tetapi kebanyakan daripadanya perlu dibaiki. 

“Apabila bot keluar dari muka kuala, ia berlanggar dengan ombak besar yang menyebabkan bahagian bot banyak yang pecah dan rekahan berlaku. 

“Mungkin, proses membaikinya akan memakan masa hampir setahun, kos membaikinya sangat tinggi dan memerlukan kerja yang amat memakan masa,” jelas beliau dengan kesedihan terbayang di wajahnya.

Seorang lagi mangsa, Khairul Hassan Mohamad, 54, turut berkongsi kisahnya dengan penuh kesedihan. 

“Air malam tadi sangat besar, dengan ombak setinggi 2.7 meter. 

“Bot-bot yang berjaya diselamatkan selepas tersadai di pantai pun banyak yang rosak teruk, terutama pada badan dan enjin. 

“Sebuah bot saya hancur sepenuhnya, dan kos untuk membaikinya sangat tinggi. Ia akan mengambil masa yang panjang untuk dibaiki,” luahnya.