BPIS : DUAT Sajikan Talaqqi Kitab Munyatul Musolli Setiap Hari Sepanjang Mac
MARANG, 6 Mac - Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) yang telah dilancarkan baru-baru ini dihangatkan lagi dengan penganjuran pengajian kitab untuk menambahbaik seterusnya menyempurnakan lagi mutu ibadah solat rakyat Terengganu khususnya.
Pegawai DUAT, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, pengajian kitab Munyatul Musolli yang diadakan secara terbuka secara dalam talian di laman rasmi Facebook Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu itu disiarkan bermula 1 hingga 31 Mac 2021.
"Pastikan setiap pukul 2.30 petang semua antara kita mengosongkan masa untuk sama-sama menadah kitab yang saya kira cukup penting ini kerana kitab ini insya--Allah akan menambahkan lagi nilai dan kualiti ibadah solat kita.
"Kitab ini hanya nipis sahaja tetapi sarat dengan ilmu fardu ain tentang solat yang wajib setiap muslim ketahui dan amalkan. Program talaqqi kitab ini dikupas oleh Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Haji Mohd Suhaimi," katanya.
Beliau berkata demikian sejurus selesai slot program Chit Chat bersama Daie anjuran Marang TV bertempat di Studio Marang TV, baru-baru ini.
Terdahulu, dalam sesi program tersebut, beliau turut memperkenalkan apa itu DUAT. DUAT mula beroperasi pada tahun 2019 di bawah Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan yang dipengerusikan oleh Mohd Nor Hamzah.
"Tertubuhnya Akademi DUAT yang dipimpin oleh Ramlan Mahmood bertujuan menyelaraskan kegiatan institusi dan badan dakwah agar berjalan seiring dengan gagasan kerajaan negeri, iaitu Terengganu, Maju Berkat Sejahtera," katanya.