KUALA TERENGGANU, 23 April - Budaya membaca perlu menjadi gaya hidup sebagai teras pencarian ilmu dalam membangunkan bakat, kebolehan serta daya saing rakyat dari segi fizikal dan intelek untuk kemajuan negara.
Isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, amalan itu merupakan langkah pertama kepada segala kemajuan dan menjadikan manusia lebih berdaya maju serta matang dari segi pemikiran.
"Dengan adanya masyarakat yang berbudaya membaca, negara kita akan mempunyai rakyat yang berminda aktif dan kreatif yang mampu berinovasi.
"Selain itu, ia mampu melahirkan warganegara yang berkebolehan melihat sesuatu daripada pelbagai perspektif berbeza,"katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Sempena Sambutan Hari Buku Dan Hakcipta Sedunia Tahun 2019 di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT), di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga secara langsung telah melaksanakan beberapa langkah bagi meningkatkan budaya cintakan ilmu dan kepentingan nilai kekeluargaan.
"Kerajaan Terengganu telah mengisytiharkan Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu sebagai hari keluarga.
"Ambillah masa dan peluang ini untuk membawa dan meluangkan masa bersama-sama anak di perpustakaan untuk mengisi aktiviti yang berfaedah,"ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Marzialina Mohamed berkata, Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia merupakan acara tahunan yang disambut serentak seluruh dunia pada setiap tahun.
Katanya, tujuan sambutan ini bagi memperingati dan mengiktiraf penerbitan buku serta memelihara hak penciptaannya selaras menjaga harta intelek.
"Terinspirasi daripada sambutan 'Earth Hour', maka program membaca 10 minit dilakukan sebagai satu langkah inovatif untuk beri nafas baharu dalam kempen pembacaan.
"Jika semasa Earth Hour, semua penduduk di seluruh dunia memadamkan lampu selama sejam, Jom Baca pula minta kita peruntukkan 10 minit sahaja untuk membaca secara serentak,"kata Marzialina.
Tambahnya lagi, seperti tahun lalu, program ini bertujuan menyemai minat membaca dikalangan masyarakat di Malaysia dan sebagai menambahkan ilmu pengetahuan rakyat Malaysia dalam sesuatu perkara.
"Jumlah peserta di Terengganu pada 2018 seramai 285,906 orang dan saya berharap jumlah ini akan meningkat pada tahun ini,"ujarnya.