COVID-19 : Solat Hajat Seluruh Terengganu Malam Ini

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Seluruh masjid dan surau di Terengganu diminta untuk mengadakan solat hajat selepas solat isyak hari ini sebagai ikhtiar bagi menghadapi ancaman wabak COVID-19 yang kembali meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, orang ramai yang tidak berkesempatan ke masjid dan surau juga digalakkan solat hajat di kediaman masing-masing.

“Solat hajat ini dibuat bagi memohon pertolongan ALLAH SWT agar segera mengangkat wabak dan malapetaka dari bumi ini.

"Saya menyeru pada semua rakyat di Terengganu untuk mengambil langkah penjagaan diri, anggota keluarga dan orang yang di bawah jagaan mereka ketika berdepan dengan ancaman pandemik.

"Semoga Allah S.W.T melindungi kita semua," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.


Tag: