Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN- Usaha dan program bagi membangunkan belia tidak pernah terhenti dan disemarakkan bagi membentuk belia yang sihat, berwawasan, berakhlak dan cemerlang menerusi pelbagai aktiviti sukan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, golongan pemuda merupakan aset kepada negeri dan menjadi pemangkin kepada kemajuan untuk pembangunan modal insan yang lebih cemerlang dan membentuk sebuah masyarakat yang bertenaga dalam pembinaan negara.
“Ini adalah kerana belia merupakan pemimpin masa akan datang jadi kita kena corakkan mereka dengan pendekatan yang baik melalui pasarana yang disediakan dan saya berharap agar kejohanan ini akan menjadi permulaan anak muda kepada beberapa program negeri yang akan diatur dalam masa terdekat.
“Pihak kami akan membantu para belia untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi mendekati golongan tersebut supaya anak muda sejahtera akan dapat dilahirkan dan paling penting mereka tidak akan terjebak dengan perkara negatif yang tidak berfaedah kerana pemuda yang sejahtera merupakan aset yang begitu berharga dan bernilai bagi kemajuan sesebuah bandar dan luar bandar,” beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika hadir pada program undian penentuan kumpulan pasukan bola Sepak, di sisni, 3 Oktober.
Sebanyak 18 pasukan bola sepak akan berentap dalam acara bagi merebut Piala Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi yang bakal berlangsung di Padang Jerangau, tidak lama lagi.
Antaranya Besol A, Besol B, Jerangau A, Jerangau B, Kuala Jengal A, Kuala Jengal B, Polis FC, Minda FC, Padang Ping, UTTJ FC, Syukur A, Syukur B, AMBS A, AMBS B, Talong FC, Dendang FC dan Pasukan Polis FC yang mewakili Balai Polis Jerangau bagi memberi saingan kepada pasukan yang lain akan diadakan secara tertutup pada peringkat DUN Bukit Besi.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti (MPKK) Jerangau, Arfan Tahir berkata, pertandingan bola sepak itu akan dijayakan dengan baik dan penuh gilang gemilang sekali gus menjadi medan kepada anak muda supaya lebih dekat dengan kepimpinan kerajaan negeri.
"Kita mahu dengan pertandingan ini golongan belia akan merasa sentiasa dicakna dengan meraikan minat mereka terhadap sukan bola sepak termasuk merapatkan ukhwah di antara satu sama lain.
"Apa yang menarik pada kejohanan ini adalah peserta perlu berpakain menutup aurat, jika tidak mematuhi arahan maka penyertaan mereka akan terbatal,”ujarnya lagi.
Menurut beliau, johan perlawanan itu akan memenangi wang tunai RM1,000 bersama piala dan medal, naib johan RM700 bersama medal, ketiga memenangi wang tunai RM400 bersama medal, kelima sehingga kelapan mendapat saguhati wang tunai RM100.