Zulzaidah (dua dari kiri) memperkatakan sesuatu kepada Dato' Osman (kiri) di Dewan Terbuka JHEAT semalam. |
KUALA TERENGGANU: Demi anak mencapai cita-cita menjadi juruteknik engin kapal terbang seorang ibu tunggal sanggup bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di sini.
Ini kerana wang zakat diterima diguna sepenuhnya untuk menampung kos pembelajaran anaknya ketika mengikuti kursus kejuruteraan penyelenggaraan pesawat di Subang.
Zulzaidah Yassin, 51, dari Pulau Bahagia, Manir berkata, anaknya Mohd Shahjahan Saeed Iqbal, 19, ditawarkan untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan penyelenggaran pesawat di sebuah instuasi swasta di Kuala Lumpur, pada 2017.
Katanya, Mohd Shahjahan antara 30 penuntut cemerlang dan terpilih untuk menyertai latihan amali dengan sebuah syarikat penerbangan di Subang dan kos sepanjang mengikuti latihan selama satu tahun dibiayai sendiri mulai Januari lalu.
"Mohd Shahjahan yang tidak mendapat sebarang bantuan dan pinjaman sepanjang mengikuti pengajian selama dua tahun di instuasi pengajian berkenaan perlu membayar sendiri yuran untuk menyertai latihan amali sebanyak RM9,600 setahun.
"Dengan pendapatan diperolehi hasil mengambil upah mencuci pinggan sebanyak RM20 sehari, saya tidak mampu untuk menjelaskan yuran yang dikenakan sekali gus," katanya ketika ditemui pada majlis pengagihan bantuan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), sempena sambutan ramadan peringkat kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Manir di dewan terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sini, semalam.
Majlis perasmian bantuan zakat kepada fakir dan miskin sempena Ramadan dirasmikan Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda.
Zulzaidah yang juga penerima bantuan zakat kategori ibu tunggal yang berkerja berkata, pihak pengurusan instuasi bersetuju dengan rayuannya untuk menjelaskan bayaran yuran latihan amali Mohd Shahjahan secara ansur.
"Menyedari bayaran yuran sudah tertunggak selama tiga bulan, tanpa perasaan malu saya sendiri berjumpa dengan Osman di pejabatnya Khamis lalu merayu agar bantuan dipercepatkan dengan memberi alasan perlu menjelaskan kos latihan amali Mohd Shahjahan.
"Alhamdulillah, rayuan saya bukan sahaja diluluskan, malah saya diminta membuat permohonan bantuan zakat untuk kategori pendidikan," katanya yang mengesahkan kehadirannya pada majlis itu hanyalah untuk mengucapna terima kasih kepada Osman dan semua pegawai MAIDAM.
Beliau berkata, wang bantuan diterimanya Khamis lalu sebanyak RM2,000 digunakan sepenuhnya untuk menjelaskan yuran latihan yang tertunggak berjumlah RM1,600 dan bakinya diserahkan kepada anaknya untuk perbelanjaan makan minum.
Ketika ditanya jumlah bantuan diterima, Zulzaidah berkata, MAIDAM meluluskan bantuan sebanyak RM2,000 setahun dan akan dinaikkan kepada RM3,000 tahun ini.
"Disebabkan saya masih mampu untuk bekerja, MAIDAM memberi bantuan sekali gus selama setahun dan bukannya diberikan setiap bulan," katanya.