Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Pertama kali menyertai ekspo anjuran kerajaan negeri, Ekspo Terengganu 2018 membuka ruang uasahawan dari Kuala setiu untuk mengembangkan perniagaan industri desa seperti budu, belacan, ikan kering dan cuka nipah ke tahap lebih tinggi.
Fatimah Che Long, 63, dari Kuala Setiu, berkata sejak hari pertama di ekspo, jualannya produk industri kecil dan sederhana (IKS) mendapat sambutan baik daripada pengunjung dan mampu mendapat pulangan hampir RM1,000 dalam satu hari.
"Makcik jual budu, belacan, ikan kering dan cuka nipah yang diproses sendiri di rumah secara berperingkat, jadi hasilnya tidak sama seperti kilang yang buat pukal.
"Alhamdulillah, tak sangka betul bila datang kat ekspo ni, pendapatan mak cik meningkat, mak cik dapat banyak tempahan dan ada yang berminat untuk menjadi pembekal...memang syukur sangat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di gerai jualannya di tapak ekspo di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini.
Menurutnya, dia dikunjungi oleh beberapa peniaga yang berminat serta menawarkan diri untuk menjadi pembekal kepada produknya bagi pasaran tempatan dan luar negeri.
Dia mengusahakan perniagaan itu dengan dibantu suami, Mat Ali Ismail, 66, yang juga seorang nelayan sejak lima tahun lalu kerana terlalu minat tambahan pula kerjaya suaminya memudahkan urusan pembuatan.
"Sebagai tambahan, makcik juga hasilkan anyaman tikar, lekar dan badang dari daun mengkuang yang didapati dari kawasan berdekatan.
"Suami makcik ni nelayan, jadi sumber asas seperti ikan tak perlu nak fikir lagi cuma sekarang dalam proses menjenamakan produknya supaya lebih menarik," katanya lagi.
Fatimah berkata, penganjuran ekspo seperti ini banyak membantunya menjana pendapatan dan mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada kerajaan negeri sekali gus mahu mengambil peluang menyertai program seumpama itu lagi pada masa depan.