Elak Dicekup, Cubaan Lari Melalui Tingkap Gagal

MARANG, 25 Oktober - Cubaan seorang lelaki untuk melarikan diri melalui tingkap bagi mengelakkan dirinya dicekup gagal apabila berjaya dikawal dan ditahan oleh penguatkuasa.

Pasangan yang masing-masing berusia awal 40-an dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah kira-kira jam dua pagi semalam.

Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, satu serbuan telah dilakukan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Marang setelah menerima aduan daripada penduduk setempat.

Keadaan motor yang disembunyikan di dalam semak

“Dipercayai individu terbabit telah menyembunyikan motosikal miliknya di dalam semak bagi mengelakkan perbuatannya ke rumah wanita tersebut dihidu oleh orang kampung.

“Namun, perbuatannya itu tetap berjaya dikesan oleh si pengadu kerana pelik dan syak setelah kerap menjumpai motosikal disembunyikan di kawasan tersebut,"katanya

Katanya, pada malam ini, setelah mendapat maklumat, skuad Amar telah turun membantu Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) bagi membanteras perkara tidak bermoral ini.

“Kerjasama ini akhirnya berjaya dengan bantuan bilangan ahli dan sukarelawan Skuad Amar yang cukup sewaktu proses serbuan dijalankan di mana kita lihat cubaan melarikan diri berjaya digagalkan,” tambahnya lagi.

Pasangan tersebut akan didakwa di mahkamah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganh) 2001, Seksyen 29, iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


Tag: