EPIC Berhad bersama-sama dengan CMC Engineering Sdn Bhd dipertanggungjawabkan melaksanakan Projek Pembangunan Keretapi Pantai Timur (ECRL) di Terengganu yang bakal menghubungkan ibu negara dan negeri-negeri di Pantai Timur.
Jaringan perkhidmatan tren baharu itu bakal merentasi Banjaran Titiwangsa yang melibatkan laluan sepanjang kira-kira 600 kilometer (KM) melalui beberapa bandar seperti Gombak, Mentakab, Jengka, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.
Projek tersebut masih di peringkat awal dengan satu kaji selidik pasaran melalui kaedah Pelawaan Memberi Maklumat (RFI) sedang dilakukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Tengku Mahamad Tengku Mahamut berkata, selaras dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam, terutama di Terengganu, pihaknya mengambil tanggungjawab melaksanakan projek berimpak tinggi itu di Terengganu.
Katanya, apabila siap kelak projek itu mampu menghubungkan jaringan antara bandar dan pedalaman, selain meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk yang di tinggal di kawasan jajaran.
“ECRL turut membuka lembaran baru di sudut perkilangan, pembuatan, inovasi dan urbanisasi serta merancakkan industri hiliran yang terlibat seperti perumahan dan pelancongan.
“Pada masa sama, menyediakan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan dan memupuk daya saing yang tinggi meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang agak perlahan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Epic Berhad yang diwakili Tengku Mahamad dan CMC Engineering Sdn Bhd (Ketua Pegawai Eksekutif, Hazwan Alif Abdul Rahman) yang disaksikan, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.
Sementara itu Hazwan berkata, sebagai syarikat tempatan yang telah 21 tahun berkecimpung di dalam industri rel negara dan antarabangsa, CMC Engineering melihat ECRL sebagai satu katalis yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi khusus Terengganu.
Katanya, ECRL membawa Terengganu ke sebuah dimensi baru dan lebih bersedia jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain disebabkan pengukuhan industri minyak dan gas di negeri ini.
“ECRL akan membuka peluang yang lebih besar, contohnya kewujudan Transit Oriented Development iaitu sebuah konsep pembinaan kawasan perbandaran yang fokus kepada lokaliti bersesuaian dan berdekatan dengan sesebuah stesen rel,”katanya.