• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Exco 'Terjah' Kampung Hulur Bantuan Kepada Keluarga B40

HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 10 keluarga B40 yang berdepan bebanan kewangan di daerah Hulu Terengganu menerima bantuan segera melalui program Ziarah Kasih yang dilaksanakan di daerah berkenaan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata program secara bersiri di setiap daerah itu bertujuan untuk memberikan bantuan segera kepada keluarga yang menghadapi kesulitan ekonomi serta masalah kesihatan.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan itu merangkumi keperluan asas serta sokongan kewangan kepada keluarga yang memerlukan.

“Sasaran utama Ziarah Kasih ini, adalah rumah yang ahlinya menghadapi masalah besar, terutamanya dari segi ekonomi.

“Keluarga yang kita kunjungi hari ini melibatkan Ketua Isi Rumah (KIR) yang sudah berusia dan mempunyai anak-anak ramai dan ada yang juga sakit,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika sidang media Program Ziarah Kasih Daerah Hulu Terengganu bertempat di Kampung Payang Kayu semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail.

Maliaman berkata bantuan tersebut penting bagi meringankan beban keluarga yang menghadapi kesulitan yang mendalam.

“Program Ziarah Kasih ini meliputi beberapa kampung termasuk Kampung Machang, Kampung Kuala Pueh, Kampung Dura, dan Kampung Payang Kayu.

“Beberapa agensi juga turut serta seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Ajil, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, dan beberapa lagi agensi terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata, program Ziarah Kasih itu akan diteruskan ke lima daerah lain termasuk Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, dan Kemaman dalam tempoh yang akan datang.

“Diharapkan segala bantuan yang diberikan dapat menyokong keluarga-keluarga yang memerlukan dan membantu mereka untuk menghadapi cabaran yang dihadapi.

“Saya juga memohon kepada orang ramai untuk menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat atau saya sendiri jika terdapat maklumat mengenai rumah-rumah yang perlu dikunjungi.

“Kami mengalu-alukan sebarang maklumat mengenai keluarga yang memerlukan bantuan supaya kami dapat turun padang bersama dengan agensi-agensi sokongan,” ujarnya.

Katanya, diharapkan program Ziarah Kasih dapat memberikan impak yang positif kepada masyarakat terutamanya dalam menangani isu kesusahan dan kesihatan yang dihadapi oleh golongan berisiko.

Beliau juga menyatakan bahawa program tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada pemberian bantuan tetapi turut melibatkan penyertaan Orang Kurang Upaya (OKU).

 “Kita ingin mengubah minda masyarakat bahawa OKU bukan hanya penerima bantuan tetapi juga penyumbang.

“OKU yang turut serta dalam program ini adalah sebahagian daripada pasukan yang membantu melaksanakan bantuan kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.

 


Tag: