• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Felda Agih 3.86 Juta Untuk Peneroka Terengganu



Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)Wilayah Terengganu memperuntukkan RM3.86 juta untuk diagihkan kepada 4,900 peneroka Felda di Terengganu pada perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Mohd Saidee Salleh berkata peruntukan itu membabitkan bayaran  RM780 kepada setiap peneroka di mana RM500 sebagai insentif hari raya dan RM280 pula dividen saham Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV).

"Bayaran akan dibuat sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri atau selewat 20hb Jun ini kepada mereka yang layak.

"Kita ada 7,459 peneroka dan hampir 3,000 daripadanya tidak mendapat bayaran insentif ini kerana tidak berurusan dengan Felda dalam pengurusan hasil.

"Saya merayu kepada peneroka-peneroka yang kurang bernasib baik supaya menghantar hasil ke Felda kerana ini menjadi elemen utama  permohonan diluluskan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  Majlis Berbuka Puasa Anjuran Seranta Felda di Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Terengganu,Dato' Jailani Johari dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil,Ghazali Taib.

 Sementara itu, Jailaini berkata pemberian insentif itu membuktikan bahawa warga Felda sentiasa mendapat perhatian kerajaan terutamanya Perdana Menteri Malaysia,Dato' Seri NajibTun Abdul Razak.

"Bayaran ini adalah untuk meringankan bebanan dalam menyambut hari raya nanti dan saya nasihatkan supaya gunakan sumbangan ini dengan bijak ketika berbelanja.

"Dan tidak lupa juga kepada peneroka-peneroka ini supaya teruskan memberi kepercayaan dan sokongan kepada kepimpinan Felda dan Perdana Menteri kerana ini akan memudahkan segala urusan pentadbiran Felda untuk kebaikan warganya,"kata Jailani.

Tag: