KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menangkap seekor gajah yang menganggu ketenteraman dan merosakkan kebun penduduk di Kampung Pak Sik, Hulu Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, gajah jantan seberat dua tan itu ditangkap pihak Perhilitan di kawasan kebun kelapa sawit kampung itu kira-kira jam 9 pagi, semalam.
“Tahniah dan terima kasih pihak Perhilitan yang bekerja keras menyelesaikan aduan penduduk,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, semalam.
Mamalia yang berusia sekitar 10 hingga 12 tahun itu berjaya ‘dipujuk’ oleh tujuh anggota perhilitan yang terlibat dengan operasi terbabit.
Azman berkata, proses pemindahan mamalia berkenaan ke habitat asal akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Proses pemindahan ke lokasi yang jauh dari konflik dengan manusia akan dilakukan sehari dua ini,” katanya.