Gara-Gara Kritikan, Faiz Kini Kuasai Pasaran Dim Sum Halal

Foto : Atika Hussin

BESUT, 1 November - Walaupun berdepan pelbagai dugaan, dan pernah dikatakan melakukan kerja  'gila' ketika memulakan perniagaan dim sum di sebuah kampung dalam Daerah Besut Che Faiz Man kini menguasai pasaran dim sum halal.

Pemilik LeBest Dim Sum itu berkata hasil yang dikecapinya hari ini memerlukan usaha keras dan pengorbanan yang memakan masa hampir tiga tahun.

Beliau yang bermula dengan menjual dim sum frozen (sejuk beku), menerima kritikan daripada rakan-rakannya yang mengatakan makanan tersebut hanya sesuai untuk orang-orang di bandar besar dan ditambah pula dengan harganya yang agak mahal berbanding dengan makanan biasa.

Bekas pelajar kejururawatan ini sebaliknya menjadikan kritikan tersebut sebagai pembakar semangatnya dan selepas yakin dengan sambutan yang diterima, beliau mengorak langkah dengan mula membuka kedai kecil di tepi jalan raya dan pada 2019,  membuka premis di Dataran Limbongan, Kampung Raja.

“Saya asalnya bekerja di sebuah training company (syarikat latihan) di Shah Alam kemudian pulang ke Besut dan rasa mahu mengusahakan sebuah kedai makanan tetapi masalah saya pada masa itu, di Besut sudah banyak kedai makanan.

“Pada masa yang sama kedai makan ini banyak masalah, nak kena ada tukang masak dan sebagainya lagi pula, saya bukan daripada bidang makanan. Jadi saya boleh kata, saya ni terjebak secara tidak sengajalah.

“Saya lihat dim sum ini satu benda yang tak ada orang buat lagi di Besut, jadi pada masa itu saya fikir mahu jadi perintis dan biasanya market (pasaran) tu lagi luas lah apabila benda baru cuma atas berani atau tidak sahaja untuk ambil risiko,” ujarnya.

Che Faiz berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di premisnya di Dataran Limbongan, baru-baru ini.

Anak jati Besut itu turut mengakui bahawa dia tidak percaya dengan sambutan yang diterimanya dan apa yang telah diperolehinya hari ini, selepas mengharungi detik sukar untuk bertahan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, awal tahun lalu. 

“Pesanan saya untuk anak muda yang mahu memulakan perniagaan, paling utama kita kena ada ilmu sebab kita tak boleh semata-mata nak ikut orang, orang boleh arah kita untuk buat begini, begini tetapi kadang-kadang tahap pemahaman berbeza.

“Jadi sebelum kita nak terjun sesuatu bidang tu kita kena ada ilmu dalam bidang tersebut, saya sendiri bila saya nak masuk bidang makanan, saya memang tanya orang dulu, belajar, tanya, apabila kita dapat maklumat yang cukup baru kita buat.

“Kemudian satu lagi kita kena rancang, bila kita tidak merancang, kita tak tahu perniagaan kita nak pergi sampai ke tahap mana dan yang paling penting, kena berani ambil risiko serta kena pandai urus risiko jangan ambil risiko saja tapi tak pandai urus,” katanya.

Perniagaan ini turut menerima suntikan dana daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (TEKUN Nasional) pada tahun 2009 dan telah terpilih untuk Program Dana Usahawan Belia Sejahtera (UBES) di bawah kendalian Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

LeBest Dim Sum pernah tular dalam kalangan penduduk sekitar Besut kira-kira dua tahun yang lalu sebelum melangkau jauh dan mampu menyewa sebuah premis khas di Dataran Limbongan, bersebelahan dengan Masjid Al-Islah, Limbongan.

Dim sum merupakan makanan yang berasal daripada masyarakat Cina, iaitu sejenis makanan yang menggunakan tepung sebagai kulitnya dan diisi dengan ayam, daging atau bahan-bahan lain dan kemudian dimasak dengan cara kukus atau goreng.