lightning-solid
Berita :
Golden Pharos Bimbing Pemegang Taruh Industri Perkayuan Terengganu
Golden Pharos Bimbing Pemegang Taruh Industri Perkayuan Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 24 Disember - Golden Pharos Berhad (GPB) menerusi dua anak syarikatnya, Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT) dan Pesama Timber Corporation (PESAMA), terus komited memperkasa kefahaman dan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa Forest Stewardship Council (FSC) dalam kalangan pemegang taruh industri perkayuan di Terengganu.

FSC merupakan organisasi bertaraf antarabangsa yang menetapkan piawaian global bagi pengurusan hutan yang bertanggungjawab dan lestari dalam memastikan produk hutan diuruskan secara bertanggungjawab.

Pengerusi Lembaga Pengarah Golden Pharos Berhad, Dato' Yahaya Ali berkata, penganjuran program berkenaan amat penting dalam memastikan pengurusan hutan berdasarkan garis panduan FSC terlaksana secara menyeluruh.

9a54dacb-89d7-48d6-bfe3-9e403820183a.jpg 345.3 KB
"Program ini merupakan suatu inisiatif yang amat signifikan dalam mengukuhkan agenda kelestarian pengurusan hutan negeri Terengganu.

"Khususnya di kawasan konsesi kita Kompleks Perkayuan Dungun (DTC) dan juga konsesi Hutan Cerul, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan (SDG). 

"Saya yakin penganjuran program seperti ini mempercerminkan komitmen jelas pihak penganjur dalam meningkatkan tahap pematuhan terhadap standard antarabangsa iaitu Forest Stewardship Council (FSC)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Stakeholder Engagement and FSC Mentoring 2025 bertempat di Permai Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar KPKKT, Ahmad Bazli Razali, Pengurus Besar Kanan PESAMA, Hilmi Awang, Ketua Jabatan Kewangan GPB, Syukri Ali, pegawai-pegawai jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat yang menjadi pemegang taruh kepada industri terbabit.

f892f23e-585e-480a-9f4c-ba0a9f5c2b79.jpg 431.43 KB
Menurut Yahaya, pendekatan libat urus dan mentoring FSC kepada pemain industri, agensi kerajaan, komuniti setempat serta pihak berkepentingan lain amat penting bagi memastikan industri perkayuan terus berdaya saing.

"Ada pihak mengatakan industri kayu ini sudah berada pada satu peringkat industri senja (industri yang semakin merosot).

"Saya fikir tidak. Selama kita boleh terus berkolaborasi dan melihat masa depan secara mempunyai suatu prospek yang lebih jauh, insya-Allah industri ini boleh bertahan," katanya.

Tegasnya, pensijilan FSC bukan sekadar simbol pengiktirafan, sebaliknya menjadi prasyarat utama untuk menembusi pasaran antarabangsa serta mendapatkan harga premium bagi produk berasaskan kayu.

"Kalau tidak kita akan menghadapi masalah, terutama dengan kerencaman ekonomi dunia sekarang ini.

"Sama ada produk kita tak boleh masuk pasaran antarabangsa ataupun kualiti barang kita ini tidak sampai kepada tahap yang diperlukan menyebabkan kita tidak akan dapat harga premium.

"Kita boleh masuk tapi dengan harga yang sangat rendah," jelasnya.

Beliau turut menjelaskan, pemahaman menyeluruh terhadap FSC juga berkait rapat dengan prinsip tadbir urus korporat berasaskan ESG (Environmental, Social and Governance) yang semakin dituntut dalam industri global.

"Ia melibatkan bukan saja kita nak menguruskan industri dengan melihat dari segi profit motivator tetapi (menunjukkan) kita ada tanggungjawab.

"Kita boleh meneroka alam, kita boleh mendapat manfaat perniagaan, keuntungan daripada alam sekitar, tetapi mesti dikawal supaya tidak berlaku kerosakan," ujarnya.

WhatsApp Image 2025-12-24 at 12.50.44 PM.jpeg 568.59 KB
Mengulas lanjut, pengurusan hutan yang berteraskan FSC menuntut keseimbangan antara kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar, termasuk pemeliharaan biodiversiti, kebajikan komuniti setempat serta keselamatan pekerja industri perhutanan.

"Pengurusan hutan hari ini bukan lagi berasaskan eksploitasi semata-mata tetapi berteraskan keseimbangan antara ekonomi, sosial dan alam sekitar," jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar segala ilmu, panduan dan pengalaman yang dikongsikan sepanjang program mentoring tersebut diterjemahkan kepada tindakan sebenar di lapangan.

"Ilmu kelestarian tidak seharusnya terhenti di atas kertas kerja, dokumen, audit dan slaid pembentangan semata-mata," katanya.

Antara pengisian utama program ialah pembentangan berkaitan pemahaman pensijilan FSC meliputi prinsip, keperluan dan kepentingannya oleh Prof. Madya Dr. Norizah Kamarudin dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain itu, program turut mengupas Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) sebagai amalan terbaik untuk kelestarian jangka panjang oleh Prof. Dr. Mohd. Nazre Saleh @ Japri dari UPM, selain perkongsian hasil kajian oleh Panthera Wild Cat Conservation Malaysia. 

Program itu juga memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam operasi pembalakan merangkumi keperluan, cabaran serta amalan terbaik yang dibentangkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu.

Manakala, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu pula membincangkan mengenai Kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCVA) dalam konteks pengurusan hutan di negeri ini.


Tag :

Artikel Berkaitan