lightning-solid
Berita :
Keluarga Benteng Utama Cegah Aktiviti Songsang
Keluarga Benteng Utama Cegah Aktiviti Songsang
Rohayati Ripin
9 jam yang lepas
60

KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Pembangunan institusi keluarga yang berteraskan kefahaman dan penghayatan agama dikenal pasti sebagai benteng paling asas serta kritikal dalam mengekang penularan aktiviti songsang dan pelbagai gejala sosial yang semakin membimbangkan masyarakat hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, ketiadaan didikan agama yang kukuh dalam institusi keluarga menyebabkan garis pemisah antara perkara baik dan buruk menjadi semakin kabur, sekali gus membuka ruang luas kepada pengaruh negatif dari luar.

“Agama merupakan benteng utama yang membezakan antara yang hak dan batil. Apabila asas agama lemah, panduan hidup juga menjadi tidak jelas, lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran pengaruh media sosial yang semakin sukar dikawal,” katanya.

FB_IMG_1766494771533.jpg 96.13 KB
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada satu program di Elysium Hall Kuala Terengganu, Drawbridge, semalam.

Menurut beliau, penularan kandungan berunsur pergaulan bebas melalui telefon pintar dan platform digital mendorong sebahagian masyarakat, khususnya golongan muda, untuk meniru serta mencuba perkara yang jelas bercanggah dengan nilai agama dan budaya tempatan.

Maliaman turut memaklumkan bahawa sehingga kini masih belum wujud satu tindakan, silibus atau dasar yang benar-benar menyeluruh bagi menangani isu keruntuhan akhlak secara berkesan, selain usaha kesedaran masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang yang semakin mencabar untuk dilaksanakan.

“Keadaan semasa menyukarkan tindakan tegas. Ada kes ditangkap tetapi dibebaskan tanpa tindakan susulan, menyebabkan masyarakat hilang keyakinan dan merasakan seolah-olah roh Islam tidak dizahirkan secara menyeluruh dalam pelaksanaan tindakan,” ujarnya.

FB_IMG_1766477843324.jpg 251.96 KB
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa isu keruntuhan akhlak tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu ibu bapa sebagai kegagalan mutlak, sebaliknya golongan tersebut perlu diperkasakan agar mampu memainkan peranan yang lebih tegas, proaktif dan berkesan dalam memantau pergaulan anak-anak.

“Isu ini bukan terhad kepada aktiviti songsang semata-mata, malah turut melibatkan penagihan dadah, kecurangan, hubungan terlarang serta keruntuhan institusi perkahwinan yang kini semakin membimbangkan,” katanya.

Tambah beliau lagi, pengaruh budaya Barat yang mengagungkan kebebasan melampau turut menyumbang kepada perubahan norma sosial, sehingga menghakis nilai malu serta meningkatkan kadar penceraian akibat kerapuhan kepercayaan dan konflik dalam rumah tangga.

Sehubungan itu, Maliaman menyeru masyarakat agar kembali memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui solat, penghayatan agama serta menjaga batas pergaulan dalam kehidupan seharian.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada undang-undang semata-mata. Pencegahan sebenar mesti bermula dari rumah. Keluarga yang kukuh akan melahirkan masyarakat yang sejahtera, berakhlak dan berdaya tahan,” tambah beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan