Oleh : Nooreni Abu Bakar
HULU TERENGGANU, 9 Januari - Program gotong royong membersih pantai merupakan platform terbaik pembentukan sahsiah pelajar agar prihatin, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap komuniti serta alam sekitar.
Jurucakap Unit Komunikasi dan Korporat, Politeknik Hulu Terengganu memaklumkan, inisiatif sebegini perlu diteruskan dan menjadi amalan berterusan dalam melahirkan graduan TVET yang seimbang dari segi akademik dan nilai kemanusiaan.
"Program ini melibatkan penyertaan pelajar-pelajar baharu Polititeknik Hulu Terengganu (PHT) yang berganding bahu membersihkan kawasan pantai sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar sejak di awal pengajian," katanya.
Terdahulu, program CSR PHT Sayangi Pantai Kita anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Politeknik Hulu Terengganu (PHT) telah berlangsung dengan penuh semangat di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus.
Sempena program tersebut Pengarah PHT, Ishamuddin Ishak serta pensyarah-pensyarah serta staf-staf sokongan turut turun padang bergotong-royong mencerminkan sokongan dan komitmen pihak pengurusan terhadap pembudayaan nilai tanggungjawab sosial dan kelestarian alam.
"Interaksi secara langsung antara pihak pengurusan dan pelajar turut mengeratkan hubungan serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga PHT," ujarnya lagi.