KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Usaha membersihkan kawasan pantai perlu dipergiat secara berterusan bagi memastikan keindahan pesisir pantai Terengganu terus terpelihara, sekali gus menyokong kelestarian sektor ekopelancongan negeri.
Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI) Terengganu, Zulkefli Sarji, berkata penganjuran Program Bersih Pantai di Pantai Cakar Hutan merupakan antara usaha pihaknya bersama rakan strategik untuk memelihara kebersihan serta ekosistem pantai.
“Ini merupakan usaha kami dalam menjaga alam sekitar kerana negeri kita terkenal dengan ekopelancongan.
“Pantai Terengganu adalah antara pantai yang paling cantik berbanding negeri-negeri lain. Dengan panjang kira-kira 244 kilometer, pesisir pantai ini merupakan aset penting kepada sektor pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Jom Bersih Pantai di Pantai Cakar Hutan dengan kerjasama Geng Plastik Ija (GPI), GS ECRO, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), dan PULIHARA.

“Masalah sampah yang terdapat di sekitar Pantai Cakar Hutan ini sudah berlaku sejak sekian lama dan sebahagiannya dipercayai datang dari negara luar seperti Thailand dan Vietnam.
“Justeru, usaha pembersihan secara berkala perlu diteruskan supaya kawasan pantai sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk dikunjungi,” katanya.

Katanya, program Jom Bersih Pantai yang diadakan di Pantai Cakar Hutan itu merupakan program pembersihan pantai GPI yang ke-97, dengan penglibatan kira-kira 100 peserta.
“Daripada hanya dua orang ketika GPI mula ditubuhkan pada 2017, kini kita mempunyai kira-kira 1,000 ahli. Ini menunjukkan semakin ramai masyarakat yang mempunyai kesedaran dan keprihatinan terhadap kebersihan serta kelestarian alam sekitar.
“Penglibatan masyarakat seperti ini amat penting kerana tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan hanya terletak kepada kerajaan atau agensi tertentu, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai dan memelihara khazanah alam semula jadi Terengganu.