Guna Lesen Motosikal Percuma Untuk Kebaikan

DUNGUN, 15 Ogos - Penerima baucer Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) bagi tahun 2020 dinasihatkan untuk menggunakannya demi kebaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, hari ini ramai yang perlukan lesen motosikal untuk kegunaan harian.

"Seramai 2,139 orang penerima di daerah Dungun terpilih untuk menerima lesen percuma ini dan di DUN Sura sendiri seramai 436 yang layak.

"Pemilihan penerima ini adalah berdasarkan beberapa kriteria antaranya di kalangan asnaf, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyerahan Baucer LMTS 2020 DUN Sura di Dewan Arena Merdeka. 

Katanya, menjadi satu kesalahan apabila menunggang motosikal tiada lesen maka dengan ini kerajaan negeri mengambil inisiatif memberikan lesen percuma. 

"Selepas dapat lesen ini, saya harap gunalah untuk kebaikan diri sendiri, keluarga, agama dan janganlah guna untuk kerosakan dan kemungkaran,” jelasnya. 

Menurut beliau, LMTS adalah salah satu manifesto kerajaan negeri yang berjaya direalisasikan dengan jayanya. 

“Banyak manifesto dan agenda yang telah dibentangkan kepada rakyat dan kita berjaya laksanakan hampir semuanya dan kita akan pastikan Terengganu ini lebih sejahtera," katanya.


Tag: