• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Hanelang Ladies Lengkapkan 'Hatrik' Juara National 7s

KUALA NERUS, 15 Julai- Pasukan Ragbi Wanita Terengganu atau lebih dikenali Hanelang Ladies terus mempertahankan gelaran sebagai juara bertahan bagi kategori wanita bawah 21 tahun dalam Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Kebangsaan (National 7s), setelah membelasah Selangor 17-0 pada perlawanan akhir pada Ahad.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, pemain terbaik kejohanan, Nur Alya Nabila Samsu Bahari melakukan dua 'try' dan satu 'conversion' untuk Terengganu selesa, sebelum Nur Syamimi Atasha Samsubahari melakukan satu 'try' pada minit terakhir perlawanan bagi menggamatkan detik gemilang itu.

Pengendali pasukan, Mohamad Nasharuddin Ismail berkata, kemenangan tersebut melakar sejarah apabila Hanelang Ladies terus mempertahan gelaran juara bagi kategori berkenaan bagi tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2021.

"Alhamdulillah atas kemenangan ini, ini satu kelebihan kita bermain di tempat sendiri.

"Saya rasa para pemain menjalankan tugas dengan jayanya dan mereka berhak menang, walaupun kita memiliki dua pemain kebangsaan tetapi kuncinya adalah kerja berpasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan dalam kejohanan yang berakhir pada Ahad.

Secara peribadi, Nasharuddin menyifatkan penambahan kategori wanita dalam kejohanan National 7s membuka lebih banyak peluang kepada golongan wanita untuk menceburi sukan itu.

"Kategori wanita adalah penambahbaikan yang bagus yang diadakan selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

 "Ia membuka mata dan ruang untuk wanita menceburi sukan ragbi di negeri ini. Alhamdulillah, dari satu segi Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) berjaya melaksanakan National 7s dengan baik di sini," katanya.

Dalam kejohanan National 7s itu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Tengku Sri Setia Mahkota Raja berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada juara-juara bagi setiap kategori.

Hadir bersama ialah Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja serta Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad.

 

 


Tag: