Hasrat Nelayan Kemaman Miliki Jeti Tambatan Tercapai

KEMAMAN, 8 April - Hasrat nelayan di daerah ini untuk memiliki jeti tambatan bagi menambat vesel yang dimiliki untuk mengelakkan ia dibawa arus yang kuat pada musim hujan lebat serta air pasang tinggi akhirnya tercapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri , Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan jeti tambatan tersebut telah pun siap melalui peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan sebanyak RM100,000 bagi dimanfaatkan 32 orang nelayan setempat.

"Kita cuba selesaikan perkara yang selama ini menjadi rungutan nelayan di sini di mana saya menerima laporan berkait dengan hal ini pada September 2020.

"Alhamdulillah melalui peruntukan segera ia dapat dibina. Saya mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Kemaman kerana mempercepatkan proses ini.

"Inisiatif yang kita buat ini adalah untuk rakyat. Alhamdulillah dalam tempoh tidak sampai dua bulan dari akhir September sehingga pertengahan November ia dapat disiapkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jeti Nelayan Kampung Geliga di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri sentiasa cuba memahami dan menyelesaikan apa sahaja masalah dihadapi oleh golongan tersebut melalui pelbagai program.

"Sebab itu dari segi perancangan untuk mereka, memang kita telah gariskan mengikut kesesuaian dan keperluan dengan turun ke lapangan bertemu sendiri dengan para nelayan.

"Di antara program yang menjadi keutamaan untuk nelayan adalah memperkayakan sumber perikanan melalui pelabuhan unjam dan tukun dengan Terengganu satu-satunya negeri tunggal dalam negara ini yang mengeluarkan peruntukan tersendiri.

"Tahun 2019 dan 2020 peruntukan dikeluarkan sebanyak RM300,000 dan digabungkan peruntukan Persekutuan sebanyak RM200,000 menjadikan jumlah sebanyak setengah juta (RM 500,000)," katanya.

 Namun, bersempena Tahun Pertanian 2021, katanya, peruntukan tersebut telah ditingkatkan kepada RM1.2 juta.

"Peruntukan naik empat kali ganda di samping Kerajaan Persekutuan tetap memberikan sumbangan sebanyak RM200,000.

"Insya-Allah kita akan manfaatkan sebaik mungkin dan nelayan di sini akan turut mendapat manfaat di mana pada Ogos nanti kita akan labuhkan unjam secara komuniti di sini," katanya.


Tag: