Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Kerajaan negeri akan menganjurkan program penghayatan Hari Afarah pada setiap tahun bermula tahun ini bagi memberikan kesedaran kepada rakyat Terengganu khususnya agar merasai kelebihan hari di mana para jemaah haji berwukuf di Arafah bagi melunaskan salah satu rukun Haji.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohktar bakal menyempurnakan majlis perasmian program julung kali itu di Taman Tamadun Islam pada 20 Ogos ini.
“Tahun ini kita akan mulakan untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Terengganu agar merasai keistimewaan Hari Arafah dan ianya akan dijadikan program tahunan bagi menyedarkan masyarakat bertapa pentingnya Hari Arafah yang jatuh pada hari ke sembilan Zulhijah setiap tahun.
“Keistimewaan dan kelebihan Hari Arafah ini sepatutnya bukan sahaja dirasai oleh jemaah haji yang ada di Mekah tetapi perlu dihayati oleh seluruh masyarakat Islam dimana pada hari tersebut digalakkan menunaikan ibadah puasa sunat, bertakbir dan sebagainya,” ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mohd Nor berkata, program tersebut juga bertujuan menanamkan dalam diri masyarakat supaya menumpukan dan memfokuskan pemerhatian mereka di Padang Arafah.
“Hari Arafah adalah hari penyatuan masyarakat, bangsa, kaum, keturunan, bahasa di satu tempat di atas nama Islam dan mereka berkenal-kenalan.
“Roh penyatuan umat Islam itu sepatutnya dihayati oleh umat Islam di mana-mana sahaja, termasuk rakyat Terengganu dengan menghayati perpaduan dan mengenepikan perbezaan pandangan, pendapat, bahasa, bangsa serta keturunan yang disatukan atas nama Islam untuk kepentingan dunia dan akhirat,’ ujarnya.
Katanya, Hari Arafah juga diharapkanakan mengingatkan umat Islam kepada Hari Akhirat.
“Mudah-mudahan pada 9 Zulhijah akan mengingatkan kita rakyat Terengganu kepada akhirat dan persiapan untuk menunaikan ibadah qurban sebagai suatu ibadah pengabdian diri kepada Allah S.W.T
“Oleh kerana itu, kita mohon agar Hari Arafah dihayati oleh masyarakat dan seluruh masjid negeri ini melalui pengisian solat hajat, doa, zikir dan sebagainya,” ujarnya.