• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Hilang Hasil RM82.5 Juta Selepas Kecualikan Cukai Pintu

KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM82.5 juta dari kutipan cukai pintu rumah kediaman bagi tempoh 2018 hingga 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengecualian cukai pintu rumah kediaman adalah antara manifesto PAS yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

“Sebaik sahaja memenangi PRU14, kita terus melaksanakan janji tersebut.

"Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri telah kehilangan hasil RM82.5 juta yang sepatutnya dikutip oleh tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Khazan Che Mat katanya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Belanjawan) di Wisma Darul Iman, hari ini

Mengikut data, pada tahun 2018, kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialah RM9.7 juta, tahun 2019 (RM12.73 juta), 2020 (RM13.87 juta) dan tahun 2021 (RM14.56 juta).

Pada tahun 2022 pula, hasil yang sepatutnya dikutip meningkat kepada RM15.27 juta dan tahun 2023 sebanyak RM16.38 juta.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata pihaknya akan mengkaji dan meneliti cadangan pelbagai pihak agar melaksanakan semula cukai pintu secara bersasar.

Kata beliau, pihaknya telah menerima banyak cadangan dan perkara tersebut akan dipertimbangkan.

"Kerajaan negeri menerima banyak cadangan dari pelbagai pihak agar melaksanakan semula cukai pintu ini secara bersasar.

"Kita akan mengkaji cadangan-cadangan itu terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan muktamad," katanya.