'Ia Tempoh Yang Lama Untuk Kembali Juara'

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober- Itu luahan Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Mohd Fikri Harun setelah pasukannya bergelar juara Piala Tun Abdul Razak 2024.

"Tidak boleh kata apa, sepanjang lapan tahun itu sudah lima kali kami muncul naib johan dan tempat ketiga. ia tempoh lama untuk merasai bergelar juara lagi.

"Syukur, setelah lapan tahun kami menunggu untuk juara kerana sebelum ini format diperkenalkan Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) tidak berpihak sangat kepada kita menyebabkan dalam kebanyakan kejohanan, pemain-pemain senior kita tidak dapat beraksi.

"Pada edisi kali ini, ia dibenarkan dan ramai kelompok pemain terengganu yang bermain kebangsaan dapat beraksi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini semalam.

Fikri turut merakamkan rasa terima kasih kepada semua penaja pasukan hoki lelaki dan wanita yang membantu secara tidak langsung meraih kejayaan tersebut.

Tambahnya, selepas ini PHT akan terus mempergiatkan usaha untuk bukan sahaja memperlihatkan kejayaan peringkat atasan, tetapi mewujudkan beberapa program pembangunan terutamanya kejohanan peringkat kebangsaan di negeri Terengganu.

"Begitu juga dengan mengadakan klinik-klinik hoki yang melibatkan pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) sebagai mentor. Itu fokus kami pada masa akan datang," ujarnya.

 


Tag: